Lelaki didenda RM3,000 beri pinjam wang tanpa lesen

Iklan
Tertuduh (tengah) ketika hadir di mahkamah pada Isnin.

TAMPIN - Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah memberi pinjaman wang tanpa lesen, bulan lalu.

Tertuduh, Goh Chun Wai, 27, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan 10 bulan penjara sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah didapati membantu pemberi pinjam wang dengan melanggar Sub Seksyen 5(1), Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 7 September lalu, kira-kira jam 5 petang, bertempat di sebuah rumah di Felda Jelai 3, Gemas.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 AA(1), APPW 1951 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, Mona Lubon.

Sementara itu, mengikut fakta kes, tertuduh sebelum itu mengugut seorang wanita selepas gagal membayar semula pinjaman sebelum wanita berkenaan membuat laporan polis.

Siasatan lanjut mendapati aktiviti pinjaman tertuduh tidak berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan ( KPKT ) sekali gus tertuduh menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen.