KUANTAN - Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Pahang mengesahkan tiada kewujudan beras plastik di pasaran tempatan di negeri ini.
Pengarahnya, Hamizan Musa berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan terbabit.
"Lagipun tidak mungkin beras plastik boleh bercampur dengan beras asli," katanya ketika mengadakan sidang akhbar selepas selesai operasi yang dijalankan di kilang pemprosesan Beras Putih Tempatan (BPT),Mumtaz Iman Sdn Bhd di Indera Mahkota pada Isnin.
Sebelum ini, tular kononnya terdapat beras plastik di pasaran Sandakan Sabah, namun lelaki terbabit telah tampil mohon maaf dan mengaku perkara itu tidak benar.
Operasi terbabit membabitkan KPB, Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Pemeriksaan pertama dilakukan di kilang beras Mumtaz Iman di Indera Mahkota.
Mengulas lanjut mengenai operasi yang diadakan, Hamizan berkata, operasi ini akan diadakan pada Isnin dan dijangka berakhir pada 3 November depan.
Jelasnya, pemeriksaan ini dibuat selepas mendapat aduan berkaitan dakwaan terdapat pengilang yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import.
"Kita akan mengambil sampel beras di kilang yang dilantik Kementerian untuk dianalisa. Proses analisa itu akan dilakukan di makmal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
"Untuk Pahang kita akan melakukan operasi ke satu kilang dan empat pusat pengedaran beras putih tempatan," ujarnya.
Tambahnya, ia bagi memastikan dakwaan dibuat kononnya ada pihak mencampurkan beras tempatan dan import tidak berlaku.
"Sampel itu kita hantar ke MARDI untuk tujuan analisa dan keputusannya akan dimaklumkan kepada pengilang atau pembekal," katanya.