'Pertemuan selalu berlaku' - Kon Yeow

Iklan
Dari kiri: Lim Guan Eng, Chow Kon Yew

KEPALA BATAS -"Pertemuan selalu berlaku, kita ada mesyuarat bulanan dan mingguan (untuk berjumpa)".

Itu reaksi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai saranan beberapa pimpinan DAP yang mahukan beliau menamatkan perang dingin antara dirinya dengan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pertemuan antara beliau dengan Guan Eng sering berlaku malah beliau sentiasa tenang dalam berdepan situasi yang dikatakan memberi impak negatif kepada parti.

"Memang tidak dinafikan pada masa itu ada pertimbangan untuk tidak memilih saya (untuk kekal menjadi Ketua Menteri) dari pihak pemutus parti," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Iklan

Minggu lalu, bekas Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dilaporkan menasihati Kon Yeow agar segera meredakan perbalahan yang berlaku dengan Guan Eng kerana memberi kesan negatif terhadap parti.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu sebelum ini berkhidmat sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Chow Kon Yeow selama tiga penggal.

Iklan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangannya pada pemilihan parti yang dijangka diadakan pada tahun depan, Kon Yeow berkata, perkara itu akan difikirkan bila tiba waktunya.

Perang dingin antara kedua-dua pemimpin DAP itu dikesan berlaku sejak sebelum PRN Pulau Pinang berlangsung malah Kon Yeow mendakwa terdapat plot yang diaturkan oleh ahli-ahli DAP untuk menjatuhkan beliau.

Isu antara antara mereka makin menjadi tumpuan apabila media melaporkan terdapat kemungkinan Guan Eng akan dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri yang lalu.

Bagaimanapun pada 5 Mei lalu, Kon Yew berkata, Guan Eng yang pernah berkhidmat selama dua penggal sebelum atau selepas pindaan Perlembagaan Negeri yang diluluskan pada 2018, tidak boleh dilantik semula.

Kon Yeow berkata, pindaan itu secara jelas menunjukkan bukan sahaja Guan Eng tidak boleh kembali ke jawatan itu semula, ia juga termaktub kepada beliau pada masa akan datang.

Menjawab mengenai dakwaan itu,Guan Eng meminta Kon Yeow supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaan ada pihak dari luar dan dalam DAP yang sedang merancang untuk menjatuhkannya sebagai Ketua Menteri dengan membuat pelantikan baharu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan sebelum ini berkata, Kon Yeow diminta untuk mengemukakan bukti tersebut kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sekiranya ada.