Peguam Negara mungkin buka semula kes Altantuya

Iklan
Najib, Azilah, Altantuya dan Sirul

KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sedang melihat kemungkinan membuka semula kertas siasatan terhadap kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Cadangan itu dilihat selari dengan hasrat bapa mangsa, Shaariibuu Setev yang sebelum ini menyuarakan harapan perubahan kerajaan baharu di negara ini mampu membantu pihaknya mendapatkan keadilan.

Iklan
Iklan

Memetik laporan Bloomberg, Tommy menyifatkan semua orang menyedari tidak masuk akal jika hanya dua pegawai polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar yang juga pengawal pengiring Najib disabitkan kesalahan membunuh wanita berkenaan pada tahun 2006.

"Tidak masuk akal hanya dua pegawai polis sahaja dipersalahkan. Kita tahu bahawa cerita ini tidak lengkap," katanya dalam satu wawancara bersama Bloomberg pada 20 Disember lalu yang disiarkan hari ini.

Iklan

Tommy berkata, pihaknya akan meneliti sama ada siasatan dibuka semula susulan mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul yang dilihat tidak mempunyai motif meyakinkan dan akuan bersumpah (SD) terbaru oleh Azilah menunjukkan ada fakta terhadap sebab pembunuhan.

"Lebih banyak untuk polis melakukan siasatan dan kami akan melihatnya," katanya.

Iklan

Azilah sebelum ini memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya dengan membuat satu kenyataan bersumpah mengejutkan.

Melalui kenyataan bersumpah itu, Azilah menuduh Najib mengarahkannya untuk menangkap dan menghapuskan mangsa kerana mendakwa Altantuya merupakan pengintip antarabangsa dan membahayakan keselamatan negara.

Najib kemudiannya menafikan penglibatannya dengan membuat sumpah laknat di sebuah masjid di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Pendirian Tommy dilihat memberi kelegaan kepada bapa Altantuya, Shaariibuu yang sejak sedekad lalu cuba mencari keadilan di atas kematian anak perempuannya.

Beliau juga mendesak pihak berkuasa Malaysia membawa pulang seorang daripada suspek pembunuhan anak perempuannya, Sirul yang melarikan diri ke Australia supaya dapat memberi maklumat sebenar di sebalik kes berkenaan.

Menyifatkan hukuman mati mandatori sebagai kaedah janggal untuk memusnahkan bukti keadilan, Shaariibuu menegaskan dia tidak mengharapkan kedua-dua bekas anggota polis UTK itu dikenakan hukuman mati.