Kuih akok Pok Soh terjual lebih 300 biji sehari

Iklan
Pok Soh menunjukkan Kuih akok tradisional Terengganu yang sudah dibakar.

KUALA TERENGGANU - Kuih akok tradisional Terengganu yang dihasilkan Pok Soh masih mendapat sambutan apabila mampu menjual lebih 300 biji akok setiap hari di pekarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu dekat sini.

Pok Soh atau nama sebenarnya Wan Jusoh Wan Ngah, 61, berkata, dia menggunakan resipi turun-temurun yang diambil daripada arwah ibunya sejak tahun 60-an untuk menghasilkan kuih tradisional tersebut.

Iklan
Iklan

"Dahulu hanya berniaga (kuih akok) secara kecil-kecilan di rumah di Kampung Baharu Serada. Jadi saya mulakan inisiatif dengan membuka sendiri gerai makan untuk menjual kuih akok dan beberapa makanan panas lain di sini (pekarangan Kompleks Muzium Terengganu) sejak dua bulan lepas.

"Keistimewaan akok tradisional Terengganu ini adalah teksturnya yang lembut dan berwarna kuning malah ia berbeza dengan akok dari Kelantan yang berwarna gelap serta sedikit keras," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan
Salah seorang pekerja sedang membakar kuih akok tradisional Terengganu (kiri).

Mengulas lanjut, Pok Soh berkata, bahan-bahan untuk menghasilkan kuih tradisional itu ialah tepung beras, telur, santan dan gula.

Menurutnya, sarang daripada tembaga digunakan untuk membakar kuih berkenaan selama tujuh hingga 8 minit.

Iklan

"Proses untuk membakar akok ini memang nampak mudah tetapi sebenarnya ia perlu dibuat dengan teliti untuk memastikan ia tidak hangus.

"Selain itu, proses untuk membuat kuih ini juga agak rumit. Ini kerana selepas adunan dibuat kena tunggu selama empat jam dan kemudian barulah ia boleh dibakar," ulasnya.

Dalam pada itu, Pok Soh berkata, kuih tradisional tersebut masih mendapat tempat di hati pelanggan terutama pelancong luar dari Terengganu.

"Ramai yang masih cari dan sukakan akok tradisional Terengganu terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Mereka datang ke sini semata-mata nak rasa keenakan kuih akok.

"Memang tak menang tangan nak bakar kuih akok ini. Sebab itulah jualan boleh terjual lebih dari 300 sehari," ujarnya.

Katanya, kuih akok tradisional Terengganu perisa asli itu dijual pada harga RM3 untuk satu peket yang mengandungi tiga biji kuih atau RM5 untuk dua peket.