SEMPORNA - Seorang nelayan ditemui maut selepas bot pam yang dinaikinya berlanggar dengan sebuah bot pelancong dalam kejadian di perairan Labuan Haji Semporna, pada malam Ahad.
Mayat Nurman Nur, 35, ditemukan pada jam 8 pagi Isnin kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 malam.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pagi Isnin dan seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian.
"Ketika kejadian, bot pelancong tidak membawa penumpang dan terlanggar bot nelayan menyebabkan mangsa hilang di laut.
"Operasi pencarian dilakukan bersama agensi lain bermula jam 7.30 pagi tadi di perairan tersebut sebelum mayat mangsa ditemukan oleh orang awam.
"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kemungkinan terkena kipas enjin bot tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, operasi ditamatkan selepas mayat diserahkan kepada pihak Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan selanjutnya.
"Mayat dibawa ke darat untuk diserahkan Operasi ditamatkan pada jam 8.19 pagi," ujarnya.