KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menyatakan pendirian untuk kekal setia bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu itu turut menjelaskan bahawa tidak akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, pihaknya menyerahkan keputusan kepada Lembaga Disiplin parti untuk tindakan selanjutnya kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman daripada Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Anwar.
Rosol ketika ditanya mengenai masih ada lagi ahli Parlimen Bersatu lain yang akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, beliau memaklumkan tidak mengetahui berhubung perkara berkenaan.
"Saya tidak dengar apa-apa tentang itu," ulasnya.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman daripada PN menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suhaili berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berterusan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid juga membuat keputusan untuk menyokong pimpinan Perdana Menteri.
Menurut wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, pendekatan tersebut diambil setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.