KUBANG PASU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Kedah telah menggagalkan cubaan membawa keluar kuda laut ke negara Thailand tanpa dokumen yang sah pada Rabu.
Pengarah Maqis Negeri Kedah, Hisham Abu Bakar berkata, pemeriksaan pada jam 4 petang itu dilakukan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perikanan Negeri Kedah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di laluan penumpang (eksport).
Iklan
Iklan
Menurutnya, melalui hasil pemeriksaan tersebut, pihaknya berjaya menemui 90 kilogram (kg) kuda laut yang dianggarkan bernilai sebanyak RM180,000.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati pihak terlibat tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah iaitu Permit Eksport daripada Maqis.
"Kes disiasat bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 11(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tidak melebihi enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
"Tindakan penguatkuasaan undang-undang melalui operasi bersama agensi akan terus diperkasakan bagi memastikan tumbuhan, karkas, ikan dan hasilan pertanian bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berjangkit serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya.