GENEVA - Dunia masih belum bersedia untuk menghadapi krisis kesihatan atau pandemik baharu yang mungkin berlaku, lapor Agensi Berita Jerman dpa memetik analisis kesiapsiagaan global yang diterbitkan pada Isnin.
Lembaga Pemantauan Kesiapsiagaan Global (GPMB) dalam laporan mereka memberi amaran keupayaan dunia untuk menangani ancaman pandemik baharu masih tidak mencukupi.
Menurut laporan itu, beberapa negara telah mengurangkan persediaan mereka untuk bertindak balas terhadap pandemik Covid-19 manakala terdapat sedikit kemajuan di negara-negara lain.
Organisasi itu membuat beberapa cadangan untuk meningkatkan kesiapsiagaan krisis di seluruh dunia antaranya dengan memperkukuh pemantauan untuk mengesan penyakit baharu pada peringkat awal.
Pengumpulan data dan keupayaan analisis juga perlu diperbaiki.
Selain itu, negara-negara miskin juga memerlukan sokongan kewangan dan penangguhan hutang untuk dapat menyediakan sumber.
Dana yang dirancang sebanyak AS$10 bilion untuk pencegahan dan kesiapsiagaan wabak mesti dibiayai dengan segera.
Penyelidikan dan pembangunan ubat-ubat baharu tidak seharusnya tertumpu di beberapa negara, seperti yang berlaku semasa pandemik Covid-19. Masyarakat sivil perlu terlibat dengan lebih baik dalam semua persiapan.
Pengerusi bersama organisasi itu yang juga bekas presiden Croatia Kolinda Grabar-Kitarovic berkata kurangnya kepercayaan antara negara dan antara rakyat serta pihak berkuasa menjadikan kesiapsiagaan wabak yang baik sukar diwujudkan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia menubuhkan GPMB pada 2018 sebagai tindak balas terhadap wabak Ebola di Afrika Barat.
Badan pemantau itu bertujuan untuk menganalisis persediaan di seluruh dunia dan membuat cadangan. - Bernama