Pelajar tidak perlu jadi 'neutral' isu Palestin

Iklan
Sekurang-kurangnya 8,005 rakyat Palestin, termasuk 3,342 kanak-kanak, 2,062 wanita dan 460 warga emas rakyat maut dalam serangan udara Israel. - Foto AFP (Gambar kecil: Muammar Qaddafi)

KUALA TERENGGANU - Golongan pelajar terutama beragama Islam tidak seharusnya didorong untuk menjadi 'neutral' terhadap konflik besar yang melanda Palestin ketika ini kerana peperangan yang berlaku itu jelas menunjukkan penindasan dan pencabulan terhadap hak kemanusiaan yang berlaku di negara itu sejak 75 tahun lalu.

Setiausaha Pemuda Amanah Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga tidak perlu tunduk terhadap gesaan mana-mana pihak termasuk dalam kalangan kalangan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk mengkaji semula keputusan penganjuran Minggu Solidariti Palestin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaksanaan minggu solidariti tersebut adalah sebahagian pendekatan pendidikan untuk membentuk generasi yang prihatin terhadap isu-isu semasa dan antarabangsa.

"Mereka tidak perlu diminta menjadi 'neutral' dalam soal Palestin kerana siapa yang benar dan salah jelas terpampang. Siapa penindas dan siapa ditindas juga sudah terang lagi bersuluh, tidak samar-samar lagi.

Iklan

"Memilih untuk menjadi neutral adalah sikap yang menguntungkan penindas," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Mengulas mengenai video tular menunjukkan pelajar membawa senjata mainan di sekolah, katanya, ia tidak wajar dikaitkan dengan Minggu Solidariti Palestin kerana ia berlangsung di luar tempoh pelaksanaan.

Iklan

Jelas beliau, ia juga merupakan insiden terpencil dan tidak seharusnya menjadi cerminan Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan KPM.

"Jika satu insiden perlu dibayar dengan pembatalan seluruh program, bermakna DAP perlu membatalkan segala Majlis Makan Malam serta ceramah anjuran parti terbabit kerana bukan sekali, bahkan berkali kali berlaku insiden penceramah 'celupar' yang menyentuh soal kaum dan agama dalam ucapan mereka.

"Tetapi majlis seumpama tetap diteruskan dengan aturan yang lebih baik dan berhati hati. Jadi tiada sebab Minggu Solidariti Palestin perlu dibatalkan hanya kerana berlaku satu insiden yang dilihat tidak wajar," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda Amanah Terengganu menyeru pihak sekolah agar melaksanakan Minggu Solidariti Palestin mengikut garis panduan ditetapkan oleh KPM.

"Apa yang harus dilakukan ialah dengan menerapkan pemahaman nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar dan tidak mengetengahkan unsur-unsur yang mudah diberi persepsi radikalisme, ekstremis, atau keganasan dalam program yang dianjurkan," ujarnya.

Pada 28 Oktober lalu, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memuat naik hantaran di media sosial meminta tindakan dikenakan kepada pihak yang membenarkan murid memegang senjata mainan ketika program solidariti bersama Palestin

Selain itu, DAP juga dilaporkan menggesa KPM mengambil tindakan tatatertib terhadap penganjur yang mempamerkan unsur kekerasan dan bersenjata di sekolah yang dikatakan terlibat dalam program itu.