Suami isteri cemas, kereta dihempap pokok

Iklan
Keadaan kereta Proton Waja dinaiki sepasang suami isteri yang dihempap pokok di Jalan Seremban-Mantin, Negeri Sembilan pada Isnin.

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kereta Proton Waja dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Seremban-Mantin di sini pada Isnin.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku ketika R Tasarathan, 33, dan isteri, R Kokilavanaee, 34, dalam perjalanan dari Nilai untuk pulang ke rumah mereka di Taman Seremban Jaya di sini.

Iklan
Iklan

Menurut Tasarathan, ketika kejadian isterinya yang memandu kenderaan dan secara tiba-tiba sebatang pokok yang agak besar menghempap bahagian depan keretanya.

"Kejadian itu sangat mengejutkan kerana ketika itu tiada angin walaupun cuaca kelihatan hendak hujan.

Iklan

"Kami kemudian cepat-cepat turun kereta kerana bimbang ada pokok lain yang akan tumbang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tasarathan berkata, mereka bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi isterinya sedikit trauma kerana masih terkejut.

Iklan

Manakala isterinya, Kokilavanaee berkata, mereka bernasib baik kerana ketika kejadian tiada kenderaan lain di belakang.

"Saya bersyukur kami selamat, tapi sedih kerana baru tiga bulan saya beli kereta itu dan ini pertama kali saya terlibat dalam kemalangan," katanya.

Sementara itu, komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Pegawai Bomba Kanan I Hamlan Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.58 petang sebelum bergegas ke lokasi.

Bomba sedang melakukan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang

"Seramai lapan anggota melakukan kerja mengalih dan memotong pokok yang tumbang dibantu skuad dari MBS.

"Operasi mengalihkan pokok tamat jam 4.45 petang, namun jalan terpaksa ditutup di kedua-dua arah secara bergilir-gilir dengan bantuan anggota polis.

"Dua mangsa tidak mengalami kecederaan dan difahamkan berjaya keluar sendiri dari kereta," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata, jalan tersebut merupakan lokasi panas yang sering berlaku kejadian pokok tumbang.

Katanya, bagaimanapun kerja-kerja mencantas kira-kira 50 pokok yang didapati boleh mengundang bahaya telah dijalankan di kawasan itu dua tahun lepas.

"Sejak itu tiada lagi kes pokok tumbang dilaporkan sehinggalah kejadian pada hari ini (Isnin) dan saya berharap Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan pemantauan selepas ini," katanya.