Tiada kematian direkodkan walaupun kes denggi meningkat

Iklan
Daerah Johor Bahru merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 193 kes atau 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. - Gambar hiasan, gambar kecil: Tian Soon

JOHOR BAHRU – Tiada kematian direkodkan akibat demam denggi pada minggu Epid ke-43 tahun ini, biarpun kes denggi dilaporkan mencatat peningkatan sebanyak 8,684 kes.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, secara kumulatif kes denggi mencatatkan peningkatan 201 peratus kes berbanding tempoh sama tahun lalu 2,885 kes.

Iklan
Iklan

Malah katanya, daripada jumlah itu sebanyak 3,544 kes atau 40.8 peratus dilaporkan dari lokaliti wabak dan 5,140 kes (59.3 peratus), dari lokaliti bukan wabak.

"Pada Minggu Epid 42, sebanyak 242 kes demam denggi telah dilaporkan dan bilangan ini menurun sebanyak 15.8 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya apabila merekodkan sebanyak 209 kes bagi pada minggu Epid 42 lalu.

Iklan

"Daripada jumlah kes denggi yang dilaporkan sepanjang Minggu Epid 43, sebanyak 95 kes (39.3 peratus) dilaporkan dari lokaliti wabak dan 147 kes (60.7 peratus) dari lokaliti bukan wabak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, daerah Johor Bahru merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 193 kes atau 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Iklan

Tambahnya, ia diikuti daerah Kulai yang merekodkan sebanyak 20 kes atau 8.3 peratus, Kota Tinggi (tujuh kes, 2.9 peratus), Kluang dan Segamat (lima kes, 2.1 paratus), Muar dan Batu Pahat (empat kes, 1.7 peratus), Pontian (tiga kes, 1.2 peratus), Tangkak (satu kes, 0.4 peratus) dan tiada kes dilaporkan di daerah Mersing.

"Secara keseluruhannya, jumlah terkumpul lokaliti wabak di negeri Johor pada 2023 sehingga Minggu Epid 42 adalah 1091 berbanding 315 dalam tempoh yang sama pada 2022,” katanya.

Sementara itu, Tian Soon berkata, aktiviti penguatkuasaan juga telah dijalankan dan sebanyak 4,759 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM 2,316,600 telah ditawarkan dan hanya 63.9 peratus telah membayar kompaun berkenaan setakat ini.

"Aktiviti pemusnahan tempat pembiakan (PTP) terus dijalankan oleh anggota kesihatan dan penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan jelas menunjukkan masyarakat masih belum lagi peka kepada keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes ini,” katanya.