BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales telah dikenakan hukuman penggantungan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama tiga tahun.
Rubiales mencetuskan kontroversi apabila mencium bibir pemain bola sepak wanita, Jenni Hermoso tanpa kerelaan selepas kemenangan Sepanyol ke atas England pada final Piala Dunia Wanita di Sydney, Ogos lalu.
Iklan
Iklan
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang sebelum ini menggantung Rubiales selama 90 hari, kini membuat keputusan untuk menggantungnya selama tiga tahun.
Insiden itu membayangi kejayaan Sepanyol menjulang Piala Dunia yang mana Rubiales mencium Hermoso ketika memberikan pingat.
Hermoso menegaskan, insiden itu berlaku tanpa kerelaannya, namun Rubiales menafikan perkara tersebut dan enggan meletakkan jawatannya.
Susulan itu, barisan pemain Sepanyol menandatangani kenyataan bahawa mereka enggan beraksi untuk pasukan kebangsaan sehingga Rubiales melepaskan jawatannya.
Pada 10 September, Rubiales meletakkan jawatannya sebagai Presiden RFEF dan juga Naib Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dengan dia digantung susulan siasatan daripada FIFA.