Isu Gaza: Imej AS, Eropah makin merudum

Iklan
Orang ramai memegang sepanduk ketika menyertai 'March For Palestine' di London pada Sabtu, untuk menyeru gencatan senjata dalam konflik antara Israel dan pejuang Hamas. - Foto AFP

SERANGAN balas tentera Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza yang kini mengorbankan lebih 8,000 nyawa penduduk Palestin tidak akan berakhir begitu saja dan kesan besarnya dijangka berlarutan begitu lama terutama melibatkan persepsi umat Islam sejagat terhadap sikap kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan sekutu kuatnya di Eropah.

Daripada pendirian AS, Britain, Perancis dan Jerman, jelas memperlihatkan kecenderungan para pemimpin mereka yang bersikap terlalu memihak kepada Israel.

Iklan
Iklan

Selain AS yang menghantar kapal perang, seorang pemimpin Jerman misalnya menegaskan, negara itu akan menebus kesalahan masa lalu peristiwa Holocaust iaitu pembunuhan berjuta-juta penduduk Yahudi semasa era Nazi dan akan tetap menyokong Israel sebagai sekutu kuat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sikap berat sebelah AS dan Barat itu seolah-olah memberi Israel lesen besar untuk terus membunuh seberapa ramai penduduk Palestin walaupun dunia mengetahui lebih 70 peratus mangsa pengeboman itu adalah kanak-kanak dan wanita.

Iklan

Setakat 29 Oktober seperti dilaporkan oleh China Global Television Network (CGTN), angka korban di Gaza kini telah meningkat lebih 8,000 orang termasuk 3,595 kanak-kanak.

Modus operandi serangan tentera Israel bagi menghapuskan ancaman Hamas, mungkin mencontohi cara dilakukan oleh tentera AS dalam Perang Dunia Kedua untuk ‘menundukkan sepenuhnya’ tentera Jepun apabila melakukan pemusnahan skala besar atau total destruction dengan meledakkan bom atom di bandar raya Hiroshima dan Nagasaki sehingga mengorbankan lebih suku juta nyawa pada tahun 1945.

Iklan

Dalam siri kempen pengeboman secara berterusan tentera Israel berdasarkan laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) setakat 15 Oktober lalu, kira-kira 42 peratus unit perumahan di Gaza telah musnah atau separa rosak.

"Hujan peluru itu telah memusnahkan kira-kira 15,100 unit kediaman selain 10,656 struktur bangunan tidak lagi boleh didiami,” jelas OCHA.

Apa yang pasti kini, konflik di Gaza meninggalkan beberapa kesan besar antaranya memperlihatkan suara para pemimpin negara Islam, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak diambil peduli sehinggakan ada dalam kalangan umat Islam mengharapkan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Korea Utara, Kim Jong Un sebagai penyelamat jika perang lebih besar berlaku.

OIC sebagai pertubuhan mewakili 57 negara Islam tidak boleh lagi menjadi organisasi yang lembik dan ia perlu bangkit serta berani melakukan perubahan termasuk menubuhkan sayap ekonomi dan tentera Islam seperti mana negara-negara Eropah yang bersatu di Kesatuan Eropah (EU) dan NATO.

Sementara itu, konflik di Semenanjung Gaza juga akan memberi kesan besar kepada imej AS dan kuasa besar Barat yang merudum teruk pada mata dan persepsi umat Islam di seluruh dunia untuk tempoh yang panjang.

Amat pelik AS, Britain, Perancis dan Jerman sanggup 'menelan' kebencian 57 negara Islam hanya kerana mahu mempertahankan sebuah negara perampas bernama Israel.

Hal ini dapat dinilai daripada kenyataan Permaisuri Rania Al Abdullah dari Jordan dalam wawancara dengan CNN, baru-baru ini, yang menegaskan, terdapat ‘piawaian pilih kasih yang ketara’ dalam perang Israel-Hamas oleh dunia Barat.

"Banyak penduduk di dunia Arab melihat dunia Barat bukan sahaja bertoleransi, tetapi juga membantu dan menyokongnya (Israel),” kata permaisuri itu.

Hanya satu perkara yang agak melegakan adalah walaupun tentera Zionis mungkin dapat menewaskan pejuang Hamas, nasib penduduk Palestin kini semakin mendapat simpati lebih meluas dalam kalangan penduduk Kristian dan kaum Yahudi anti-Zionis di seluruh dunia termasuk di kota-kota besar di AS, Eropah, Kanada dan Australia dengan teriakan lantang ‘Free Palestine’.

* Marzuki Yusoff ialah Penyunting Sinar Harian