MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Isnin telah memaklumkan bahawa kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula 1 November ini selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.
Penamatan subsidi itu adalah untuk mengurangkan ketirisan di mana pada ketika ini ia turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Penamatan subsidi dan harga kawalan itu juga adalah selaras dengan pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam tidak lama lagi selepas mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.
Pelaksanaan tersebut membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam di pasaran.
Di samping penamatan subsidi dan harga kawalan ayam itu, Mohamad selaku menteri bertanggungjawab menegaskan kerajaan memberi jaminan bahawa penjualan ayam akan berada di bawah harga siling iaitu RM9.40 sebelum ini.
Di satu sudut lain, peniaga perlu memainkan peranan dengan tidak cuba mengaut keuntungan lebih dengan menjual ayam pada harga yang lebih tinggi.
Untuk itu, pengapungan harga ayam perlulah dibuat pada kadar yang munasabah bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pengguna, penternak dan pembekal.
Ia juga harus dibuat secara teliti dan perlu dipantau agar tiada pihak terutamanya peniaga cuba mengambil kesempatan, selain bagi memastikan bekalan domestik keperluan itu mencukupi.
Selain itu, dalam memastikan jaminan supaya ayam tidak dijual atas harga siling, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memainkan peranan dalam memastikan pelanggan tidak terbeban dengan peningkatan harga yang mendadak.
MAFI dan KPDNHEP perlu segera melakukan pemantauan berkala dan mengambil tindakan dalam memastikan ketegasan kerajaan terhadap mana-mana peniaga yang menjual harga ayam melebihi harga siling.