Lulus PhD, wanita lumpuh harap peluang kerja

Iklan
Harniza (kiri) di samping ibunya, Wan Khamsah ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, di Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang memiliki kelayakan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) berharap mendapat peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan dirinya.

Harniza Abd Razak, 45, menempuh laluan berliku sebelum berjaya menggenggam PhD dalam Pengajian Bahasa Inggeris sempena Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-37 yang berlangsung pada 13 Ogos 2022.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau kini memerlukan pendapatan bagi menampung kos perubatan di samping perlu membeli lampin pakai buang yang digunakan pada setiap hari.

"Sebelum ni saya pernah bekerja sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) selama 14 tahun, namun ketika itu saya tiada sebarang caruman menyebabkan tiada simpanan wang untuk saya gunakan dalam tempoh begini.

Iklan

"Disebabkan penyakit yang saya alami ini, saya terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu untuk mengajar.

"Doktor pakar juga mengesahkan saya mengalami pendarahan otak yang serius dan memberi risiko kepada nyawa sekiranya bekerja.

Iklan

"Saya hanya boleh melakukan kerja yang tidak memberikan tekanan, sebab itu saya lebih memilih untuk memberi ceramah motivasi atau yang selari dengan kelulusan iaitu English For Academic Purpose, English For Specific Purpose, English For Occupational Purpose," katanya.

Harniza (berkerusi roda) ketika menerima skrol disampaikan oleh Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempena Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-37 pada 13 Ogos 2022.

Tahap kesihatan Harniza jauh berubah setelah mengalami strok pada 2017.

Walaupun diuji dengan penyakit strok, anak bongsu dari enam beradik itu tidak sesekali patah semangat untuk teruskan pengajian.

Dengan doa dan semangat ibunya, Wan Khamsah Shikh Ali, 76, Harniza berjaya menghabiskan tesis bertajuk The Use Of Automated Writing Evaluation (AWE) In Improving ESL Learners' Proficiency setebal 350 muka surat.

"Masa buat PhD pada 2017 tu saya diserang strok sebelum disahkan mengalami kanser ovari.

"Akibat kanser itu, sebelah ovari saya telah dibuang pada 2018.

"Selang empat tahun kemudian saya disahkan mengalami SLE (Sistemetik Lupus Eritematosus) pada 2022.

"Ketika tu ALLAH SWT sahaja yang tahu macam mana keadaan saya berjuang untuk tamatkan PhD, dalam keadaan lumpuh sebelah kiri badan termasuk tangan dan kaki serta mengalami pendarahan dalam otak.

"Dalam tempoh yang sukar itu saya perlu berjuang dan melipatgandakan usaha untuk capai apa yang dicita-citakan," ujarnya yang menamatkan PhD dalam tempoh tiga tahun.

Menurut Harniza, keazaman untuk menggapai kejayaan dalam bidang pendidikan didorong semangat bapanya, Abd Razak Nik yang telah meninggal dunia ketika dia berusia empat tahun.

"Mungkin wajah ayah agak kabur dalam ingatan saya kerana waktu dia meninggal dunia tu saya masih kecil.

"Tetapi semangatnya untuk lihat anak-anak berjaya sentiasa ada bersama saya," ujarnya.

Harniza yang tinggal di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, di sini mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Muhamad Hussin Md Zin, 42, yang bekerja sebagai imam masjid ketika dia terlantar sakit pada 31 Ogos 2020.

Katanya, suaminya banyak memberikan dorongan kepadanya terutama dalam tempoh-tempoh sukar selepas menghidapi pelbagai penyakit.

"Setakat ni saya bergantung kepada suami, namun disebabkan tugas sebagai imam masjid, dia agak sibuk dan tidak selalu ada di rumah, sebab itulah saya perlu gagahkan diri untuk berdikari.

"Saya berharap sangat dapat peluang untuk bekerja dari mana-mana pihak.

"Kerja yang saya boleh lakukan tanpa gunakan kudrat anggota badan," katanya.

Individu yang prihatin dengan nasib Harniza boleh menghubunginya di talian 013-2800709 atau menyalurkan sumbangan melalui Bank Islam (13044020115118) atas nama Harniza Abd Razak.