Misi kemanusiaan penduduk Kampung Saliliran selesai

Iklan
Wakil FOL bersama penduduk Kampung Saliliran bersama barangan makanan dibawa menggunakan helikopter milik PDRM.

NABAWAN - Misi kemanusiaan menghantar bakul makanan kepada penduduk Pensiangan yang terjejas kali ini tertumpu di Kampung Saliliran terletak berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia.

Bantuan kecemasan ini adalah kesinambungan dua misi dilaksanakan badan bukan kerajaan (NGO) Forces Of Love (FOL) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Iklan
Iklan

Menerusi misi ini, kira-kira 800 kilogram (kg) makanan seperti ayam, telur, sayur-sayuran dan makanan kering diserahkan kepada 23 keluarga dan sembilan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran.

Selain itu, peralatan persekolahan turut dibawa bagi kegunaan 23 murid di sekolah berkenaan.

Iklan

Pada awalnya, bantuan kali ini dirancang menggunakan laluan darat yang mengambil masa 16 jam perjalanan menggunakan pacuan empat roda dan bot selain berjalan kaki.

Sukarelawan FOL memunggah barangan makanan dari helikopter sejurus mendarat.

Namun, ihsan PDRM berjaya menyelesaikan masalah apabila bersetuju membawa semua barangan menggunakan helikopter jenis AW139.

Iklan

Perjalanan udara dengan dua kali penghantaran mengambil masa setengah jam bermula dari Balai Polis Nabawan sebelum mendarat di padang Kampung Saliliran.

Disebabkan keadaan cuaca kurang baik selain banjir di kampung terbabit beberapa hari lalu menyebabkan kumpulan misi kemanusiaan terdiri daripada wakil FOL memutuskan untuk tidak bermalam dan terus pulang ke Nabawan selepas misi bantuan selesai.

Wakil FOL Keningau, Yeo Li Fung berkata, misi itu sepatutnya dilaksanakan pada 12 Oktober lalu tetapi disebabkan barangan dibawa begitu banyak dan memerlukan kos tinggi termasuk menyewa bot menyebabkannya ditunda.

Katanya, bebanan 800 kilogram barang untuk dipikul menaiki bukit selain memerlukan 10 bot untuk membawa semua barangan sudah pasti menjadi perkara paling menyulitkan.

"Misi ini sangat mencabar kerana jika menggunakan laluan darat, kami perlu melalui jalan tidak berturap selama lebih tiga jam, menaiki bot hampir enam jam dan kemudian berjalan kaki meredah hutan selama enam jam lagi.

"Apabila ditawarkan bantuan helikopter dari Pusat Gerakan Udara (PGU) PDRM, kami bersyukur misi ini berjaya dan berjalan lancar,” katanya.

Yampil

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, misi kemanusiaan kali ini dilaksanakan menerusi bantuan PGU dengan menghantar bakul makanan.

"Kita menerima maklumat daripada Ketua Balai Polis Nabawan bahawa terdapat bantuan makanan akan disalurkan kepada penduduk Kampung Saliliran.

"Memandangkan barangan dibawa agak banyak, jadi kita mengambil inisiatif menggunakan helikopter kerana perjalanan ke kampung terbabit amat jauh dan sukar,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan beberapa kawasan di Pensiangan terjejas apabila laluan utama menghubungkan beberapa perkampungan terputus akibat kejadian tanah runtuh pada 5 September lalu.

Kejadian itu menyebabkan ratusan penduduk yang menetap di perkampungan tersebut terputus bekalan dan terpaksa mendapatkan bantuan dari luar untuk menghantar makanan.

Misi kemanusiaan menghantar bakul makanan kepada penduduk di Kampung Saliliran, Pensiangan kali ini menggunakan khidmat helikopter milik PDRM.

Misi kemanusiaan pertama dilaksanakan FOL dan JBPM Sabah bermula pertengahan September lalu dengan membawa 2.3 tan bekalan makanan melalui jalan darat dan sungai ke Kampung Salinatan, Pensiangan.

Misi seterusnya dilakukan secara kerjasama menggunakan dua helikopter masing-masing milik PDRM dan JBPM dengan membawa 11 tan makanan.