LIONEL Messi memenangi Ballon d'Or kelapan dalam kariernya manakala bintang juara Piala Dunia Sepanyol, Aitana Bonmati memenangi anugerah bagi kategori wanita.
Messi yang kali terakhir memenangi anugerah itu pada 2021, memainkan peranan penting membawa Argentina merangkul kejuaraan Piala Dunia pertama mereka dalam tempoh 36 tahun apabila menewaskan juara bertahan Perancis pada perlawanan akhir tahun lalu.
Ia merupakan detik kemuncak dalam kariernya mengatasi saingan sengit khususnya dari Erling Haaland dan Kylian Mbappe.
Lapan anugerah yang dimenanginya itu menyaksikan pemain berusia 36 tahun itu mengatasi pesaing terdekatnya, Cristiano Ronaldo yang meraih lima trofi Ballon d'Or.
"Saya tidak dapat membayangkan mempunyai kerjaya yang saya miliki, semua yang saya capai.
"Saya bertuah dapat bermain untuk pasukan terbaik di dunia, pasukan terbaik dalam sejarah," katanya.
Messi berkata, kesemua anugerah yang diterima adalah istimewa atas sebab yang berbeza.
"Seronok memenangi trofi individu ini dan untuk memenangi Copa America dan kemudian Piala Dunia.
"Saya gembira mendapat pengiktirafan ini, terima kasih atas apa yang telah dicapai bersama pasukan kebangsaan,” katanya.
Ditanya sama ada dia akan meneruskan kariernya sehingga Piala Dunia 2026, Messi berkata, dia tidak memikirkannya.
"Saya tidak memikirkannya. Saya akan menikmati (kerjaya saya) hari demi hari. Pertama sekali akan ada Copa America di Amerika Syarikat (pada 2024). (Piala Dunia), saya tidak memikirkannya,” katanya.
Rakan sepasukan Messi di pasukan kebangsaan Argentina, Emiliano Martinez memenangi anugerah Lev Yashin untuk penjaga gol terbaik dunia.