Dua penagih dadah cetak, guna wang palsu RM100 ditahan

Iklan
Mazli (dua dari kanan) melihat wang kertas palsu yang dirampas ketika serbuan di sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu pada Ahad.

KUALA TERENGGANU - Kegiatan dua penagih dadah mencetak wang kertas RM100 palsu dan menggunakannya untuk berbelanja terbongkar apabila ditahan polis di sebuah pangsapuri di sini pada Ahad.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, suspek berusia 28 dan 33 tahun berasal dari Terengganu dan Selangor itu diberkas sepasukan anggota polis Bahagian Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu kira-kira jam 4 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dua individu terbabit disyaki terlibat dalam kegiatan mencetak dan menggunakan wang palsu bernilai RM100 untuk digunakan di daerah Dungun dan sekitar Terengganu.

"Susulan penahanan suspek kita turut menemui dan merampas 27 keping wang kertas bernilai RM100 pelbagai siri yang disyaki palsu.

Iklan

"Selain itu, turut dirampas, dua unit telefon bimbit, satu unit laptop, satu unit printer, sebuah kereta dan pelbagai alatan menghasilkan wang kertas palsu.

"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika sidang akhbar di IPK Terengganu di sini pada Selasa.

Iklan
Sebanyak 27 keping wang kertas RM100 pelbagai siri yang dirampas .

Mazli berkata, modus operandi digunakan suspek ialah menggunakan wang palsu itu untuk mendapatkan wang baki setiap kali berbelanja di kedai-kedai kecil sekitar negeri ini.

"Kegiatan suspek terbongkar apabila pengadu membuat aduan berkaitan dengan wang palsu yang diterimanya semasa membuat penutupan akaun di kedai alat tulis tempat dia bekerja.

"Kita percaya setakat ini mereka berdua sahaja terlibat dalam kegiatan ini iaitu melibatkan seorang pembuat wang palsu, seorang pembantu dan pengguna wang tersebut," katanya.

Jelas beliau, dengan penangkapan suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 69 kes melibatkan wang palsu yang dilaporkan sejak 2022 sehingga kini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari oleh Majistret Dungun bermula Ahad dan kes disiasat dibawah Sesyen 489 D Kanun Keseksaan kerana memiliki Peralatan Wang Palsu

Katanya, jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun, dan boleh dikenakan denda.

"Suspek turut berdepan hukuman mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun," katanya.

Dalam pada itu, Mazli menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan memeriksa wang kertas yang diterima dalam setiap aktiviti jual beli.

"Sebanyak 38 kes wang kertas palsu direkodkan pada tahun lalu di negeri ini dan setakat tahun ini pula sebanyak 31 kes telah dilaporkan.

"Justeru, orang ramai dinasihat agar lebih peka dan memeriksa wang kertas yang diterima terlebih dahulu serta melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat keraguan ke atas wang kertas tersebut," kata beliau.