Satu penggal tempoh cukup ukur KPI wakil rakyat

Iklan
Sivamurugan Pandian - FOTO SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Tempoh satu penggal berkhidmat sudah mencukupi bagi mengukur petunjuk prestasi utama (KPI) setiap wakil rakyat sama ada layak untuk dikekalkan atau digugurkan pada pilihan raya seterusnya.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, tempoh lima tahun itu memadai bagi melaksanakan janji dan menyelesaikan isu rakyat di kawasan masing-masing.

Iklan
Iklan

"Meskipun ada pihak berpendapat tempoh tersebut singkat untuk melaksanakan apa yang dijanjikan namun ia tidak boleh dijadikan alasan kerana lima tahun merupakan waktu untuk menjalankan tugas, perbaiki dan menaik taraf kawasan sebaik mungkin.

"Mungkin ada cabaran tetapi ini syarat maka wakil rakyat harus lakukan yang terbaik untuk mendapat kepercayaan rakyat.

Lagipun, jika kekal dua atau tiga penggal, ia akan mengehadkan peluang kepada calon lain menjadi muka baharu terutama pelapis pemimpin muda,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada Ahad memberi peringatan mana-mana wakil rakyat parti itu yang tidak mencapai prestasi seperti diharapkan akan diganti dengan muka baharu.

Menurutnya, penilaian dan prestasi menjadi petunjuk penting bagi memastikan wakil rakyat memberi perkhidmatan dengan penuh tanggungjawab dan bermanfaat kepada kawasan masing-masing.

Iklan

Tambah Sivamurugan, bagi mencapai KPI yang ditetapkan, wakil rakyat perlu memenangi hati rakyat terutama dalam penjagaan kebajikan penduduk setempat.

Jelasnya, KPI wakil rakyat ditentukan pengundi di kawasan masing-masing berdasarkan tahap perkhidmatan dan komunikasi.

"Jika mereka berkhidmat dengan baik kemungkinan akan dipilih semula. Semua itu akan dinilai seperti perkhidmatan sama ada memenuhi keperluan, kemahuan dan keselesaan rakyat khususnya dari segi kebajikan serta infrastruktur.

"Bagi komunikasi pula, melihat sama ada mudah dihubungi termasuk menghulurkan bantuan. Kalau betul-betul mahu mencapai KPI, wakil rakyat harus mesra dan berjiwa rakyat bukan sekadar ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk berdebat sahaja," ujarnya.