NIBONG TEBAL - Pengurusan Aset air Berhad (PAAB) dengan kerjasama Kelab Belia Prihatin Malaysia dan Persatuan Kebajikan Nelayan Pulau Pinang (PIFWA) melalui program tanggungjawab sosial korporatnya,’Beach & Mangrove Cleaning 2023’ telah menanam 200 anak pokok bakau di Kampung Sungai Aceh di sini baru- baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Zulkiflee Omar berkata, kerjasama itu sebagai usaha mereka untuk memelihara ekosistem di kawasan sekitar.
"Program yang diadakan ini sangat penting kerana ia melindungi sumber semula jadi yang unik dan tidak ternilai, berfungsi sebagai ekosistem penting dalam melindungi terhadap hakisan pantai dan mengekalkan garis pantai semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berterima kasih dan menghargai sokongan mereka yang terlibat dalam menjayakan program ini antaranya sukarelawan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), PIFWA dan juga ahli-ahli Kelab Belia Prihatin Malaysia, yang mengembara dari Kedah, Pulau Pinang, dan Perlis untuk menyertai program ini.
"Dedikasi dan semangat mereka dipuji sebagai bukti semangat kerjasama dan komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan alam sekitar yang mampan.
"PAAB juga bertanggungjawab dalam memastikan pengagihan sumber air yang adil kepada seluruh penduduk Malaysia melalui air pengendali bekalan di beberapa negeri. Saya juga berterima kasih kepada Ilias Shafie dan penduduk Kampung Sungai Aceh atas sambutan hangat mereka.
"Saya berharap untuk meneruskan inisiatif sedemikian pada masa akan datang. Acara ini ditandai dengan semangat perpaduan dan penglibatan masyarakat, mencerminkan nilai-nilai teras pemeliharaan alam sekitar dan kerjasama yang diperjuangkan oleh PAAB,” kata Zulkiflee.