Banjir besar diramal tidak berlaku tahun ini

Iklan
Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah.

SHAH ALAM - Banjir besar seperti yang berlaku pada penghujung 2021 diramal tidak berulang tahun ini ketika negara memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula Disember hingga Februari depan.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, menghampiri musim berkenaan, negara akan mengalami hujan lebat lebih kerap pada sebelah petang.

Iklan
Iklan

"Namun orang ramai perlu sentiasa berwaspada risiko banjir kilat terutamanya di kawasan berkedudukan rendah dan ada masalah sistem saliran.

"Kita sudah nak masuk musim MTL maka fenomena luruan monsun akan berlaku yang menyebabkan kawasan Pantai Timur bakal menerima taburan hujan lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Pada Sabtu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca susulan jangkaan empat hingga enam episod hujan lebat yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.

Sementara itu, Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Dr Fariza Yunus berkata, Kelantan, Terengganu dan Pahang diramal menerima hujan lebat bermula November hingga Disember, sebelum beralih ke Johor dan Sarawak.

Iklan

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi Met Malaysia dan menerusi aplikasi myCuaca serta laman media sosial rasmi jabatan tersebut.