Vinicius tekad terus bersuara menentang isu perkauman

Iklan
Vinicius - Foto Agensi

PEMAIN sayap Real Madrid, Vinicius Jr akan terus bersuara menentang isu perkauman dalam bola sepak selepas menerima Anugerah Socrates dalam majlis Ballon d'Or atas sumbangannya di luar padang pada Selasa.

Vinicius, yang kerap diejek berbaur perkauman dalam perlawanan LaLiga sejak dua musim lalu, diiktiraf apabila mengaktifkan sebuah yayasan yang membina sekolah di kawasan miskin dan melabur dalam pendidikan di Brazil.

Iklan
Iklan

"Saya akan kekal berpendirian tetap dalam memerangi isu berbaur perkauman.

"Adalah satu perkara yang sangat menyedihkan untuk bercakap tentang isu berbaur perkauman pada masa kini, tetapi kita perlu meneruskan perjuangan supaya orang ramai kurang menderita.

Iklan

"Saya sangat gembira menerima anugerah ini kerana membantu ramai kanak-kanak di Brazil. Sejujurnya saya berbesar hati untuk dapat membantu seramai mungkin kanak-kanak supaya mereka berpeluang untuk lebih maju dalam kehidupan," kata pemain kelahiran Brazil itu pada majlis tersebut.

Sebagai rekod, pemain berusia 23 tahun itu adalah satu-satunya tonggak skuad Samba dalam ranking 10 teratas untuk Ballon d'Or tahun ini selepas menjaringkan 23 gol dalam semua pertandingan untuk Real musim lalu.

Iklan

Vinicius juga memberi penghormatan penuh emosi kepada mendiang Pele, pemain legenda Brazil yang meninggal dunia Disember tahun lalu pada usia 82 tahun.

"Pele adalah ikon bagi saya. Dia meletakkan Brazil pada tahap yang berbeza dan orang ramai menghormati pemain Brazil berkat legasi hebat yang ditinggalkannya," kata Vinicius.

Institut Vini Jr yang diwujudkan pada 2020 bertujuan menggunakan populariti bola sepak untuk membantu inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah awam Brazil.

Sebanyak 15 sekolah dan 10,000 pelajar akan mendapat manfaat dari projek tersebut menjelang akhir 2023 dengan lebih 500 peluang pekerjaan.