HIDAYAH ALLAH SWT itu tiada tolok bandingnya. Terlalu mahal nilainya dan tidak mampu diukur dengan apa pun kerana ia merupakan kurniaan-NYA kepada sesiapa dikehendaki-NYA.
Walaupun dilahirkan dalam keadaan sudah sedia Islam, itu bukan bermakna kita tidak perlu mencari petunjuk-NYA lagi. Mengertilah, hidayah itu perlu dicari kerana ia tidak datang bergolek dalam kehidupan.
Menurut portal muslim.or.id, berdoa dan memohon hidayah kepada ALLAH SWT merupakan kunci paling utama untuk kita menggapainya.
Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis qudsi yang mana ALLAH SWT berfirman: "Wahai hamba-hamba-KU, kalian semua tersesat kecuali orang yang AKU beri petunjuk, maka mintalah petunjuk kepada-KU, nescaya AKU akan berikan petunjuk kepada kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)
Begitu juga dalam firman ALLAH SWT dalam Surah al-Fatihah, ayat 6 yang bermaksud: "Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.”
Fakta yang sama turut dikongsikan oleh pendakwah Ustaz Muhammad Rizal Johari menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya.
Jelas beliau, hidayah ALLAH SWT merupakan perkara paling berharga dalam hidup kita.
"Ia adalah sepenting-penting perkara dalam kehidupan.
Sedar atau tidak, Ustaz Muhammad Rizal yang juga penulis buku kerohanian menjelaskan, umur kita semakin pendek setiap hari, namun ia menjadi sia-sia atas pelbagai asbab.
Beliau kemudian memperincikan lapan perkara untuk kita merefleksi diri seperti berikut:
1. Tiada gunanya andai kita bergaji RM1 juta sehari kalau diri tidak mendirikan solat. Walaupun duit itu berharga, namun hidayah lebih berharga daripadanya.
2. Apalah gunanya jika hebat bertutur dalam bahasa Inggeris, Korea mahupun lain-lain, tetapi tidak boleh membaca al-Quran. Hebat mana pun kita berbicara, namun tidak boleh membaca kalam ALLAH itu, maka ia tidak ada nilai.
3. Mempunyai kenderaan hebat, tetapi apalah ertinya andai ia tidak boleh membawa kita ke masjid. Kufur nikmat namanya itu.
4. Apalah ertinya jika kita punyai simpanan, tetapi langsung tidak tergerak hati untuk bersedekah. Sedangkan, terlalu banyak saluran untuk berinfak. Ingatlah, simpan duit banyak pun apabila mati, ia akan menjadi ‘sampah’ dunia.
5. Tiada gunanya seseorang ada ijazah doktor falsafah (PhD), kelulusan akademik terbaik dan berpangkat, tetapi tiada akhlak dan adab. Lebih-lebih lagi hormat terhadap orang tua dengan bercakap ‘main lepas’ dan bersifat sombong dengan orang lain.
6. Apa gunanya mempunyai suami dan orang tua, tetapi kita enggan berbakti apatah lagi mentaati mereka. Sedangkan merekalah pembuka jalan mudah untuk kita ke syurga.
7. Diberi usia sihat, tetapi langsung tidak digunakan untuk beribadah dan berbuat kebaikan. Walhal, orang kurang upaya pun mengusung diri ke masjid dan majlis-majlis ilmu.
8. Apalah ertinya membeli baju mahal, tetapi tak cukup kain untuk menutup aurat. Sudahlah mahal, tetapi dapat dosa pula.
Demikianlah ingatan yang diberikan oleh Ustaz Muhammad Rizal untuk kita renungi bersama.
"Pesan ini adalah nasihatku buat insan-insan yang mahu bermuhasabah, berfikir dan mengubah kepada kebaikan.
"Tiada paksaan dan tidak ada tuju pada mana-mana individu,” coretnya.