KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) menggesa Parlimen supaya menyatakan pendirian tegas mengecam dan menyifatkan tindakan kekejaman Israel ke atas Palestin sebagai jenayah perang.
Timbalan Ketua Pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, satu usul jelas berhubung perkara tersebut perlu diungkapkan di dalam Parlimen.
"Yang ada hanya pemberitahuan dan penerangan, kita tidak dengar lagi istilah terpacul dari mulut Perdana Menteri (bahawa) apa yang berlaku adalah jenayah perang kerana ia ada kesan yang besar dari segi undang-undang.
"Kita nak itu keluar daripada Parlimen kita. Macam mana Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan cakap dalam himpunan di Parlimen tentang Hamas,” katanya ketika dalam sidang media Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fahysal turut mencadangkan supaya kerajaan sendiri membawa usul berkenaan dan ahli Parlimen pembangkang sedia menyokong tindakan tersebut.
"Jadi kita perlukan Parlimen yang ada pendirian kuat. Seperti mana Parlimen di Ireland, Sepanyol dan Brazil dan banyak lagi negara-negara barat.
"Malulah kita di Malaysia tidak menyatakan pendirian di Parlimen. Parlimen adalah sebagai satu institusi bukan sekadar penerangan, itu yang kami maksudkan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ‘ancaman‘ notis tatatindak yang diterima dari Amerika Syarikat (AS) susulan pendirian Malaysia terhadap kekejaman Israel kepada Palestin.
Ujar beliau, istilah tatatindak itu bukan berbentuk ugutan sebaliknya merupakan pertanyaan pendirian rasmi oleh AS ke atas Malaysia.
"Beliau (Perdana Menteri) anggap demarche itu satu ugutan. Bagi saya, ia tidak tepat.
"Ia (Istilah ugutan itu) ada impak yang serius terhadap hubungan luar kita dengan mana-mana negara yang dilihat mengancam kita atas pendirian terhadap Palestin,” katanya.
Di samping itu, Wan Ahmad Fahysal berkata, pertanyaannya kepada Perdana Menteri berhubung negara mana lagi yang mengancam Malaysia, turut tidak dijawab.
"Jadi kami perlukan jawapan dari Wisma Putra kerana kami perlu respons dari segi protes kita kepada negara-negara (pengancam) tersebut.
"Sebab itu juga kami menyeru Perdana Menteri tadi, kalau wajar boikot sidang APEC (Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik), sila buat demi mempertahan pendirian dan solidariti kita terhadap Palestin,” jelasnya.
Pada Khamis, Anwar mendedahkan negara pernah menerima notis tatatindak sebanyak tiga kali daripada Kedutaan AS sebagai salah satu tekanan susulan pendirian tegas Malaysia dalam menentang kezaliman zionis Israel.