KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ayob Khan, mendahului 309 penerima pingat termasuk dua pegawai kanan polis negara asing, pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian (DKPP) Tahun 2023 sesi pertama, yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu.
Selain itu turut menerima PGPP ialah empat pegawai kanan polis antaranya Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan PGPP Kehormat kepada Pesuruhjaya Polis Brunei, Datuk Paduka Seri Mohammad Irwan Hambali dan Ketua Polis Thailand Torsak Sukvimol.
Pada istiadat itu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) kepada 58 penerima, Pahlawan Pasukan Polis (PPP) kepada 88 penerima, Kesatria Pasukan Polis (KPP) kepada 17 penerima, Bentara Pasukan Polis (BPP) kepada 138 penerima dan seorang penerima Pingat Keberanian Polis (PKP).
Penganugerahan DKPP, diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan di atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan di dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia.
Hadir sama ke istiadat itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Sesi kedua istiadat itu dijadual berlangsung di Istana Negara, Khamis ini. - Bernama