KUALA LUMPUR - Penjawat awam perlu berfikir lebih panjang sekiranya berhadapan dengan situasi yang mencabar integriti terutamanya rasuah.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kisah 14 tahun lalu melibatkan dua anggota polis di Rompin, Pahang yang berdepan dengan ujian habuan dunia perlu dijadikan sebagai pengajaran.
Menurutnya, anggota terbabit telah menahan sebuah lori yang mencurigakan dan mendapati ia membawa muatan 96 kotak serta 480 bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu.
"Susulan itu, polis berkenaan menahan dua suspek lelaki yang berada dalam lori, namun disebabkan cuak, mereka (dua suspek) telah menawarkan suapan bukan RM100 atau RM200 tetapi RM500,000 dengan bayaran awal RM10,000 sebagai ganjaran untuk dilepaskan.
"Berpegang teguh kepada integriti tanpa goyah, anggota itu bukan sahaja menolak malah bertindak menangkap suspek berkenaan sehingga tumpas sindiket dadah paling dikehendaki.
"Kedua-dua anggota polis memberitahu mereka tolak rasuah sebab fikir panjang dan jauh sebelum melakukan sesuatu yang salah dan mahu bekerja lama dalam pasukan sehingga tamat perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Bulan Integriti Nasional 2023 dengan tema ‘Integriti Citra Malaysia Madani’ di Pusat Konvensyen Sime Darby, pada Selasa.
Antara tetamu yang hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamad; Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Nor Yahati Awang.
Mengulas lanjut, Mohd Zuki memberitahu, kisah berkenaan mengingatkan setiap perbuatan yang dilakukan itu dilihat oleh ALLAH SWT.
"Sekiranya kita senang dengan hasil daripada perbuatan yang salah, ia sama sekali tidak mempunyai keberkatan dan akhirnya akan memberi impak buruk dalam kehidupan.
"Kalau tidak kena pada kita, mungkin pada anak keturunan kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah dan meningkatkan integriti dapat dibuktikan menerusi peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat telah menetapkan tujuh penanda aras.
Menurutnya, penanda aras keenam iaitu meletakkan sasaran negara di kedudukan ke 25 terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
"Saya yakin dan percaya, kita semua akan berupaya untuk mencapai hasrat ini dengan syarat semua pihak berganding bahu dan tangan serta bekerjasama sebagai satu pasukan yang utuh,” jelasnya.