TDM terima lebih 600 unit aset, perolehan baharu bernilai RM96.3 juta

Iklan
Muhammad Hafizuddeain (dua dari kanan) ketika melihat antara aset serta perolehan baharu bernilai RM96.3 juta bagi suku ketiga 2023 di Kem Perdana Sungai Besi pada Selasa. - Foto: FB TDM

KUALA LUMPUR - Tentera Darat Malaysia (TDM) menerima sebanyak 661 unit aset serta perolehan baharu bernilai RM96.3 juta bagi suku ketiga tahun ini di Kem Perdana Sungai Besi pada Selasa.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan perolehan aset baharu yang diterima antaranya peralatan perairan, senjata dan peralatan elektronik.

Iklan
Iklan

Selain itu, trak tiga tan GS Kargo, sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), ambulans medan, kenderaan pembawa senjata (AGL), kenderaan operasi khas (SOV), bot gempur, treler bot, bot getah, jambatan bantuan logistik, mortar 60 milimeter, gogal penglihatan malam dan pencari julat laser.

"Perolehan secara berperingkat sejak awal tahun ini telah menjadikan kesiagaan tentera darat sentiasa berada di tahap tinggi bagi mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara di samping memberikan bantuan terutama semasa negara ditimpa bencana alam.

Iklan

"Perolehan-Perolehan ini telah meningkatkan lagi elemen utama mobiliti kesiagaan tentera darat seperti trak tiga tan GS Kargo yang bertujuan membawa anggota dan muatan logistik serta ambulans medan digunakan sebagai pemindahan kasualti dan perubatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dalam ucapannya pada Perintah Ulung PTD ke-30 di Kem Perdana Sungai Besi berkata, tentera darat perlu sentiasa konsisten dalam semua aspek pemerintahan dan pengurusan organisasi.

Iklan

Beliau berkata, ini sekali gus membolehkan tentera darat dibangunkan secara inklusif dan mampan.

"Usaha ini adalah untuk membolehkan tentera darat menumpukan daya usaha secara efisien dan efektif bagi mencapai matlamat strategik yang telah ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

"TDM harus sentiasa peka bahawa cabaran mendatang memerlukan tentera darat untuk berupaya memberikan opsyen tindak balas ketenteraan yang merentas dan merangkumi pelbagai domain,” katanya.

Muhammad Hafizuddeain juga berkata, tentera darat harus mempunyai ruang hubung kait dengan usaha keseluruhan kerajaan dan masyarakat.

Sebelum itu, perbarisan Perintah Ulung PTD disertai 55 pegawai dan 1,509 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Azlifaisal Anuar. - Bernama