Kerjasama strategik YWM, BSN mampu tingkatkan kutipan wakaf tunai

Iklan
Mohd Na'im menerima sumbangan dari Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional, Jay Khairil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Dr. Ridzwan Bakar (kanan) dan Ketua Pegawai Perniagaan Bank Simpanan Nasional, Mujiburrahman Abdul Rashid (kiri) pada majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Wakaf Tunai Malaysia Antara Bank Simpanan Nasional Dan Yayasan Waqaf Malaysia yang diadakan di Wisma BSN, Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

KUALA LUMPUR – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menjalinkan kerjasama strategik bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam mempertingkatkan kutipan wakaf tunai di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, setiap sumbangan wakaf terkumpul menerusi kerjasama berkenaan akan ditukar kepada aset tetap yang akan memberi impak kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sementara menunggu dana wakaf mencukupi untuk ditukarkan kepada aset wakaf, dana itu boleh dilaburkan di produk pelaburan patuh syariah BSN yang mempunyai ciri modal dilindungi bagi meningkatkan dana wakaf.

"Hasil pelaburan tersebut yang dikenali sebagai Dana Manfaat Wakaf akan digunakan bagi tujuan membiayai sektor-sektor agihan berbentuk kebajikan dan penggunaannya adalah lebih fleksibel.

Iklan

"Bagi memastikan integriti dan pengurusan dana yang baik, sebuah jawatankuasa bersama yang dianggotai YWM dan BSN akan ditubuhkan bagi mengawal selia agihan dana wakaf serta dana manfaat wakaf,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Wakaf Tunai Malaysia antara BSN dan YWF yang diadakan di Wisma BSN, di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Dr Ridzwan Bakar dan Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujiburrahman Abdul Rashid

Mohd Na’im yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM berkata, terdapat empat sektor agihan dana wakaf hasil kerjasama berkenaan iaitu solar/tenaga; pendidikan; kesihatan; dan pembangunan ekonomi.

Beliau menambah, pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran dari segi jumlah kutipan hasil kerjasama tersebut dan menjelaskan kutipan wakaf YWM telah mencecah RM6 juta tahun ini.

"Penyediaan pelbagai platform oleh BSN seperti Ejen Bank BSN, JomPay, mesin teler automatik (ATM), perbankan internet MyBSN, e-biller dan melalui kaunter di cawangan BSN bakal memudahkan akses kepada setiap lapisan masyarakat untuk berwakaf,” ujarnya.