Lawan rasuah dalam sukan: APSI jalin kerjasama dengan Rasuah Busters

Iklan
Andre menunjukkan mural Rasuah Busters ketika ditemui di Kumpulan Karangkraf, pada Selasa.

SHAH ALAM - Syarikat Asia Pacific Sports International (APSI) mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan Rasuah Busters dalam usaha memerangi rasuah di dalam industri sukan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, KPD Andre berkata, pelbagai program bersama telah diatur, antaranya simposium sukan dan kejohanan futsal bertemakan anti rasuah yang kini sudah dalam perancangan.

Iklan
Iklan

"Kita juga fokus kepada pendidikan sukan sebab seperti yang diketahui umum wujud rasuah dalam industri, dan perkara ini (rasuah) semakin 'ke hadapan' jadi kita ambil inisiatif ini.

"Program-program ini juga telah diatur dan matlamatnya adalah kita mahu menerapkan elemen-elemen melawan rasuah sambil bersukan," katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.

Iklan

Beliau ditemui di Kumpulan Karangkraf selepas selesai mengadakan kunjungan terhadap Rasuah Busters, di sini.

Dalam pada itu, katanya, fokus kerjasama itu juga ke arah mendidik masyarakat menolak rasuah dalam industri berkenaan.

Iklan

"Kita fokuskan untuk beri penekanan terhadap pendidikan awal kanak-kanak. Hendak betulkan negara, kita kena bermula daripada langkah awal, jadi di sini sasaran kami adalah menyemai perihal anti rasuah dalam kalangan kanak-kanak dahulu.

"Perkara ini kita melihat seperti mana negara Jepun yang memfokuskan terhadap kemandirian moral anak-anak kecilnya, itu yang kami lakukan sekarang," katanya.

Dalam pada itu, Andre berkata, pihaknya juga sebelum ini bekerjasama dengan Universiti Malaya yang dijenamakan sebagai UMAPSI yang menekankan kepada aspek tadbir urus kesukanan dan etika serta tanggungjawab kesukanan.

"Ia di bawah program pendidikan sukan yang bermatlamat untuk mengukuhkan jati diri mereka yang terlibat," katanya lagi.