NABAWAN - Jambatan gantung yang digunakan oleh lebih 200 penduduk Kampung Saliliran, Pensiangan di sini perlu dibaik pulih atau dibina baharu kerana keadaannya yang uzur dan rosak.
Tinjauan Sinar Harian mendapati bukan saja tiang kayunya reput, malah papan lantai sudah tercabut kabelnya juga berkarat.
Penduduk Kampung Saliliran, Rainis Baikum, 55, berkata, keadaan jambatan gantung itu membimbangkan penduduk kerana mengancam nyawa mereka."Jambatan ini dibina lapan tahun lalu dan digunakan oleh penduduk kampung untuk menyeberang Sungai Saliliran termasuk murid-murid yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran.
"Kami bimbang jambatan akan rosak terutama ketika banjir besar kerana setiap kali banjir, paras air meningkat dan berisiko dilanggar kayu yang dihanyutkan arus deras.
"Pada pandangan saya, jambatan ini hanya boleh digunakan kurang daripada setahun dan dikhuatiri tidak selamat untuk digunakan untuk tempoh yang panjang,” katanya ketika ditemui di kampung itu pada Selasa.
Tambahnya, kos untuk membaik pulih atau membina jambatan baharu sangat tinggi kerana lokasi kampung yang agak jauh, selain tiada laluan khusus untuk ke situ.
"Jambatan gantung ini pernah putus dan dibaiki. Ketika jambatan ini rosak, kabel yang digunakan untuk membaik pulih jambatan terpaksa diangkut menggunakan helikopter,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Saliliran, Sangut Biow, 60, berkata, disebabkan perkampungan mereka sering dilanda banjir, penduduk bergantung sepenuhnya kepada jambatan itu untuk perhubungan.
"Jadi kami memang bergantung sepenuhnya dengan jambatan gantung ini untuk mengetahui keadaan penduduk lain terutamanya ketika kampung dilanda banjir,” katanya.
Justeru katanya, jambatan gantung itu perlu dibaik pulih atau dibina baharu bagi memudahkan penduduk saling berhubung dan murid-murid boleh menyeberangi sungai dengan selamat.
"Kalau tidak banjir, air sungai hanya sampai paras dada. Tetapi kalau hujan berterusan, air sungai melimpah dan menyebabkan banjir. Paras air akan melepasi sungai.
"Ini membahayakan penduduk kampung dan juga kanak-kanak yang melalui jambatan. Jadi ia perlu diganti baharu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” ujarnya.