GAZA - Hanya satu peratus bantuan kemanusiaan memasuki Gaza dapat membantu penduduknya, meskipun terdapat peningkatan aliran bekalan.
Situasi ini disebabkan kekurangan bahan api yang kritikal menyebabkan pengagihan makanan dan bekalan perubatan menjadi semakin sukar.
Jurucakap Agensi Pelarian Palestin Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Julietta Touma berkata, meskipun terdapat peningkatan bilangan trak bantuan yang memasuki Gaza, ia masih tidak mencukupi.
Ini kerana secara purata hanya 14 trak memasuki setiap hari berbanding 400 trak yang diperlukan bagi menampung 2.3 juta penduduk Gaza yang kini terdesak mendapatkan keperluan penting seperti roti.
"Kami juga menghadapi cabaran dengan bekalan, bekalan yang telah kehabisan kerana keperluan yang sangat besar dan pengagihan menerusi pengagihan dari awal.
"Konvoi sangat-sangat sedikit, hanya 1 peratus daripada apa yang diterima Gaza sebelum ini.
"Jadi, kami meminta pertambahan bilangan trak ini.
"Kami juga memerlukan minyak untuk trak ini, kami tidak menerima apa-apa bahan api, bukan UNRWA, bukan seluruh Gaza.
"Tiada bahan api dapat masuk ke Gaza sejak 7 Oktober," katanya.
Touma menambah cabaran besar dalam pengoperasian mereka termasuk tidak dapat menampung jumlah rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal adalah empat kali lebih banyak daripada yang mereka sasarkan.
Beliau turut memaklumkan operasi berdepan kesulitan, kerana 67 sukarelawan UNRWA turut terkorban.
"Kami mempunyai 670,000 orang di pusat perlindungan kami. Adakah kita mampu memberi bantuan kepadasemua orang? Tidak, sudah tentu kami tidak mampu, kerana mereka berada di seluruh Semenanjung Gaza.
"Ramai sebenarnya masih di utara atau di kawasan tengah.
"Pasukan kami juga terkesan.
"Kami tidak dapat membantu semua orang yang memerlukan, jadi kami tidak dapat memenuhi tugas kemanusiaan kami terhadap rakyat, komuniti yang kami berkhidmat di Semenanjung Gaza," katanya.
Di sebalik kebenaran bantuan memasuki Gaza, Israel laksana pemeriksaan ke atas mana-mana bantuan yang masuk.
Sehingga kini, bantuan bahan api masih dilarang ke Gaza, atas sebab ia akan dimanipulasi pejuang Hamas untuk tujuan ketenteraan mereka.
Angka kematian akibat pengeboman di Gaza kini meningkat kepada lebih 8,525 orang termasuk 3,542 kanak-kanak. - Awani