KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbangkan hala tuju baharu berhubung Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dengan melaksanakan penambahbaikan untuk memasangnya di lokasi yang mempunyai kadar kemalangan tinggi.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, ia bagi mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada ketidakpatuhan kepada peraturan jalan raya khususnya melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju.
Iklan
Iklan
"Hal ini disokong dengan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai status terkini cadangan bagi menambah dan menggantikan unit kamera AWAS serta kemungkinan terdapat sebarang jaminan pertambahan kamera tersebut mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.
Tambahnya, pengguna jalan raya juga sentiasa diberikan peringatan yang jelas di kawasan penguatkuasaan kamera berkenaan.
Ujar Hasbi, ia dibuktikan dengan pemasangan tiga papan-papan tanda yang memaklumkan lokasi kamera AWAS beroperasi kepada semua pengguna jalan raya.
"Kamera AWAS adalah bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan titik hitam di mana nahas jalan raya kerap berlaku,” katanya.