59 trak sarat bantuan masuk ke Gaza

Iklan
Trak yang membawa bantuan sedang menunggu untuk memasuki Gaza berhampiran persimpangan Rafah di sebelah Mesir pada Selasa. - Foto Xinhua

RAMALLAH - Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pada Selasa berkata sebanyak 59 trak bantuan telah memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan sempadan Rafah.

"Kru kami telah menerima pada malam ini sebanyak 59 trak sarat dengan bantuan melalui lintasan sempadan Rafah,” Agensi Anadolu (AA) memetik pertubuhan kemanusiaan itu dalam satu kenyataan.

Iklan
Iklan

Trak-trak itu membawa makanan, air, bantuan kecemasan, ubat-ubatan dan bekalan perubatan, menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, sebanyak 217 trak membawa bekalan bantuan tidak termasuk bahan api tiba di Semenanjung Gaza sejak konflik Palestin-Israel meletus pada 7 Oktober, tambahnya.

Iklan

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum konflik terbaharu, purata 500 trak memasuki wilayah itu pada setiap hari.

Bagaimanapun, semua itu terhenti selepas pertempuran bermula pada 7 Oktober mengakibatkan wilayah Palestin berkenaan mengalami kekurangan teruk makanan, air dan ubat-ubatan.

Iklan

Menurut unjuran PBB, sekurang-kurangnya 100 trak bantuan diperlukan setiap hari untuk membekalkan keperluan kira-kira 2.3 juta penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Sementara itu, angka kematian penduduk Palestin akibat serangan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 8,525 orang kata Kementerian Kesihatan di Gaza pada Selasa.

"Mangsa termasuk 3,542 kanak-kanak dan 2,187 wanita manakala 21,543 orang lagi cedera,” kata jurucakap kementerian Ashraf al-Qudra dalam sidang media di Gaza City. - Bernama/Anadolu