KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merekodkan seramai 51 kanak-kanak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) belum mempunyai dokumen pengenalan diri.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, data itu diperoleh setakat Oktober tahun ini.
"Mengikut rekod JKM, sehingga Oktober 2023, 51 kanak-kanak masih belum ada dokumen pengenalan diri, namun jika dibandingkan pada 2022, seramai 2,158 kanak-kanak tidak mempunyai dokumen berkenaan.
"Justeru, dalam menguruskan dokumen pengenalan diri mereka, JKM bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam urusan permohonan daftar lewat kelahiran bagi mendapatkan sijil kelahiran.
"JPN (juga) sentiasa memberi keutamaan untuk membantu kanak-kanak ini mendapatkan sijil kelahiran sebelum tamat perintah berada di institusi JKM,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN - Rantau Panjang) mengenai jumlah kanak-kanak di bawah selain JKM yang belum mendapat dokumen pengenalan diri.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH - Pulai) mengenai kesukaran kanak-kanak tanpa dokumen bersekolah, Aiman Athirah menjelaskan hak golongan itu tidak pernah dinafikan.
Ini kerana katanya, JKM sentiasa berusaha melalui pelbagai kaedah untuk menyelesaikannya.
"Kanak-kanak tanpa dokumen ini tidak dinafikan untuk bersekolah di negara kita seperti kanak-kanak lain,” katanya.