MyMinda kesan 1,315 individu ada ciri-ciri bunuh diri – Dr Zaliha

Iklan
Dr Zaliha - Foto Bernama

BANGI - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima data yang membimbangkan mengenai tahap kesihatan mental sebahagian rakyat Malaysia termasuk berkaitan kecenderungan untuk membunuh diri.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, data itu diperoleh daripada komponen baharu dalam aplikasi MySejahtera iaitu MyMinda, yang diperkenalkan 22 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Dr Zaliha, seramai 6,955 individu telah disaring setakat ini dan daripada jumlah itu, 2,887 berdepan dengan isu kemurungan manakala 1,315 individu terkait dengan ciri-ciri ke arah membunuh diri.

"Kita baru sahaja lancarkan MyMinda dalam aplikasi MySejahtera dan ini membuktikan dalam masa singkat ramai yang ke depan untuk nilai kesihatan mental masing-masing.

"Daripada angka itu ramai yang kita diagnos ada masalah kemurungan dan ciri-ciri untuk bunuh diri... jadi perkara ini sangat membimbangkan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan program Program Minda Sihat Hidup Sejahtera sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia di sini, pada Rabu.

Tambah Dr Zaliha, KKM juga telah mengambil langkah intervensi awal selepas memperoleh data-data berkenaan khususnya melibatkan mereka yang mempunyai ciri-ciri bunuh diri.

Iklan

"Kita memang ambil langkah intervensi khususnya yang terkait dengan tingkah laku bunuh diri dan petugas akan terus hubungi mereka untuk ambil tindakan awal bagi mengelakkan mereka lakukan perkara yang memburukkan lagi kesihatan mental mereka,” katanya lagi.

Secara keseluruhan kesemua data tersebut meliputi mereka yang berusia 18 tahun ke atas berikutan platform berkenaan dibuat menerusi aplikasi MySejahtera.

Kerajaan juga katanya akan terus mengambil langkah proaktif membendung isu kesihatan mental yang boleh menjejaskan prestasi kerja harian.

Sebelum ini, KKM memperkenalkan MyMinda sebagai satu komponen baru dalam aplikasi MySejahtera yang terdiri daripada saringan minda sihat, sumber psikopendidikan dan akses kepada talian bantuan psikososial.

Selain itu, usaha berkenaan juga bertujuan melatih anggota kesihatan seperti pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan dan paramedik di klinik kesihatan seluruh negara.