KUALA LUMPUR - Kos kehidupan yang semakin meningkat menyebabkan ibu bapa lebih memilih untuk mendapatkan makanan yang murah walaupun ia tidak bernutrisi.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, keadaan itu juga menyebabkan ibu hamil tidak mengambil nutrisi yang baik buat bayinya.
Menurutnya, perkara itu antara punca bayi yang lahir tidak mendapat nutrisi secukupnya, meningkatkan risiko bayi itu menjadi bantut.
Selain itu, katanya, keengganan mengikut jadual rawatan dan menganggap kanak-kanak gempal sebagai comel, sedangkan kanak-kanak itu sedang mengalami masalah bantut juga menyumbang kepada masalah itu.
"Ia menyebabkan ibu bapa memilih untuk mendapatkan makanan yang murah. Ibu yang sedang hamil juga tidak mengambil nutrisi yang baik, bagi memastikan anak lahir dengan sihat dan tidak terbantut.
"Kesan terbantut beri kesan sangat besar. Anak-anak yang bantut ini akan lebih terdedah dengan penyakit seperti obesiti.
"Ia menyebabkan produktiviti anak-anak ini akan terjejas. Sekiranya ramai terbantut, produktiviti negara pada masa depan juga akan terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Alias Razak (PN - Kuala Nerus) yang bertanya usaha kerajaan membasmi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata, masalah bantut tidak hanya melibatkan golongan B40.
Menurutnya, data daripada kementerian mendapati Putrajaya, lokasi di mana ramai golongan berpendidikan berada dalam senarai teratas antara kawasan tertinggi mengalami masalah itu.
"Golongan ini mengambil langkah mudah... kerana kesibukan dan perkembangan kerjaya lebih meluas, pemilihan makanan lebih kepada makanan segera, diberikan kepada kanak-kanak.
"Ini menyebabkan masalah terbantut itu berlaku. Saya ingin mengambil satu contoh, sebuah sekolah Jenis Pendidikan Cina di Muar. Mereka mempunyai satu kerjasama komuniti.
"Ibu bapa di sana menyediakan makanan kepada semua guru dan kanak-kanak supaya makanan itu berkualiti dan bernutrisi.
"Kaedah ini sangat baik daripada sekiranya kita bergantung kepada RMT (Rancangan Makanan Tambahan). Kadangkala ada pengusaha berikan sosej dan nasi,” katanya.