KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam proses memuktamadkan rancangan untuk memperluaskan Skim Keilatan kepada pekerja asing yang bekerja di negara ini.
Menterinya, V Sivakumar berkata, peluasan skim itu bakal dikuatkuasakan menerusi Akta 4 meliputi pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini.
"Langkah ini akan memberi keadilan sosial kepada pekerja yang berkhidmat dalam pelbagai sektor dan industri, termasuk buruh asing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Makan Tengah Hari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diadakan bersama duta serta wakil daripada negara sumber di ibu negara, pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Norison Ramli; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Majlis penghargaan itu juga diserikan dengan kehadiran 11 wakil kedutaan dan pejabat pesuruhjaya tinggi, iaitu dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan, Vietnam, Thailand, China, Kemboja serta Filipina.
Dalam pada itu, Sivakumar menegaskan semua pekerja domestik, termasuk dalam kalangan buruh asing diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan PERKESO.
Bagaimanapun, katanya, perangkaan mengenai jumlah liputan caruman bagi pekerja domestik asing menunjukkan bahawa ada segelintir majikan di negara ini yang masih tidak akur terhadap arahan berkenaan.
"Liputan jaringan keselamatan sosial ini selari Konvensyen 19 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Layanan Saksama (Pampasan Kemalangan) 1925 yang diratifikasi Malaysia.
Jelasnya, hanya 39.67 peratus daripada keseluruhan 95,000 pekerja asing domestik di negara ini dilindungi PERKESO menjadikan mereka terdedah kepada risiko bencana pekerjaan tanpa perlindungan sosial.
"Perangkaan ini jelas menggambarkan masih ada segelintir majikan yang tidak mencarumkan pekerja mereka dengan PERKESO, termasuk bagi pekerja domestik asing walaupun sudah diwajibkan berbuat demikian berkuat kuasa 1 Jun 2022.
Tambah Sivakumar lagi, keadilan sosial perlu diberikan kepada pekerja berkhidmat di pelbagai sektor dan industri, termasuk buruh
Difahamkan, ketika ini seramai 1.78 juta pekerja asing aktif dilindungi menerusi Skim Bencana Kerja Pekerja Asing PERKESO setakat 1 Oktober lalu.
Sebanyak 37,328 insiden kemalangan direkodkan membabitkan pekerja asing dilaporkan ke PERKESO, dengan jumlah bayaran manfaat keselamatan sosial yang sudah dilunaskan kepada Orang Berinsurans dan waris menjangkau RM76.57 juta.