PM, Rutte bertemu di Putrajaya untuk perbincangan dua hala

Iklan
Anwar (kanan) menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini ketika Malaysia dan Belanda terus mengukuhkan hubungan dua hala. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menerima kunjungan hormat rakan sejawatan dari Belanda Mark Rutte di Seri Perdana di sini, dalam usaha Malaysia dan Belanda mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Rutte tiba di Malaysia semalam untuk lawatan kerja dua hari, yang kedua ke negara ini selepas lawatan sulungnya pada 2014.

Iklan
Iklan

Anwar berkata, pertemuan empat mata adalah platform penting bagi mengadakan perbincangan dan mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Belanda.

"Kunjungan ini juga membolehkan kami bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang terkait dan juga demi kepentingan bersama," kata Anwar dalam hantaran di laman rasmi Facebook beliau selepas menerima kunjungan Rutte.

Iklan

Antara isu terkait adalah industri kelapa sawit, kerjasama digital, kecerdasan buatan, teknologi semi konduktor, yang pastinya banyak untuk dikongsikan antara kedua-dua negara, katanya.

"Moga hubungan Malaysia-Belanda akan terus bertambah baik dan kukuh pada masa hadapan, Insya-ALLAH," katanya.

Rutte disambut Anwar sebaik tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri sebelum kedua-dua pemimpin itu mengadakan rundingan yang membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Belanda selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Iklan

Selepas pertemuan hampir sejam, Anwar menghoskan majlis jamuan tengah hari sempena lawatan kerja Rutte ke Malaysia.

Pada 2022, Belanda adalah rakan dagangan ke-14 terbesar Malaysia dan kedua terbesar di Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah dagangan RM48.04 bilion (AS$10.93 bilion), meningkat 33.4 peratus berbanding RM36.01 bilion (AS$8.68 bilion) pada 2021.

Belanda juga merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia dalam kalangan negara EU dengan jumlah 732,324.54 tan. - Bernama