Anugerah HRD 2023 iktiraf 44 pengamal sumber manusia cemerlang

Iklan
Fadillah (dua dari kanan) yang diiringi Sivakumar (dua dari kiri) menyampaikan anugerah istimewa kepada Ghanim pada Malam Gala Anugerah HRD 2023. - Foto SINAR HARIAN/OHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

KUALA LUMPUR - Kecemerlangan dan inovasi yang ditunjukkan 44 pengamal sumber manusia diberi pengiktirafan pada Malam Gala Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2023 (Anugerah HRD 2023) yang dianjurkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Lebih istimewa, pada tahun ini kategori baharu diperkenalkan membabitkan Anugerah Kecemerlangan yang meliputi pengiktirafan Pasukan Sumber Manusia (HR) Tahun Ini serta Anugerah Ikon HR yang paling diidamkan oleh individu terkenal dalam sektor awam dan swasta.

Iklan
Iklan

Anugerah Kecemerlangan itu diwujudkan bagi meraikan kecemerlangan dalam kepelbagaian dan inklusiviti, kemahiran masa depan, pembangunan graduan, teknologi pembelajaran, matlamat pembangunan lestari (SDG), pengurusan bakat dan kepimpinan, latihan inovasi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ia menjadikan penganugerahan keseluruhannya membabitkan tiga kategori utama termasuk Anugerah Menteri Sumber Manusia dan Anugerah HRD Corp yang merangkumi sub-kategori perniagaan (majikan), individu, jurulatih dan penyedia latihan.

Iklan

Majlis berkenaan menyaksikan Anugerah Ikon HR Sektor Awam berjaya dirangkul Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, manakala bagi sektor swasta ia dimenangi Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Dr Nora Abd Manaf.

Anugerah Menteri Sumber Manusia pula digondol oleh Maybank dan Revertex (Malaysia) Sdn Bhd bagi sub-kategori majikan, Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (penyedia latihan) dan Edwin Engbat Gara (tenaga pengajar).

Iklan

Satu anugerah istimewa turut diberikan kepada usahawan Qatar yang menghidap sindrom regresi kaudal (kecacatan sejak dilahirkan), Ghanim Al Muftah sebagai pengiktirafan terhadap komitmen pemberdayaan serta menjadi sumber inspirasi kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) di seluruh dunia.

Barisan penerima anugerah utama bergambar bersama Fadillah pada Malam Gala Anugerah HRD 2023. - Foto SINAR HARIAN/OHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Ghanim hadir sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke Malaysia untuk berucap di Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 yang berlangsung di ibu negara pada Isnin dan Selasa.

Pemenang lain yang turut menggondol anugerah termasuklah Petronas, Pos Malaysia, Indah Water Consortium (IWK) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Anugerah HRD menjadi platform terbaik bagi meraikan syarikat yang bukan hanya proaktif dalam melatih pekerja malahan mencipta pendekatan inovatif ke arah usaha meningkatkan amalan pengurusan mereka.

Katanya, ia berfungsi sebagai kayu pengukur keupayaan tenaga kerja sekali gus menggariskan komitmen Malaysia dalam memandu pertumbuhan pembangunan modal insan merentasi rantau ASEAN.

"Saya juga merasa bangga apabila dapat melihat organisasi tempatan bekerja keras mengubah perniagaan dan tenaga kerja mereka dalam menyesuaikan diri dengan perubahan yang pesat, memasuki pasaran baharu, mencipta produk dan penyelesaian baharu.

"Ia seterusnya mengubah era pasca Covid-19 menjadi peluang kepada sebuah generasi," katanya ketika berucap pada Malam Gala Anugerah HRD 2023 itu di sini pada malam Selasa.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud serta Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.

Sementara itu, Sivakumar memberitahu, anugerah tersebut membuktikan komitmen HRD Corp untuk mengiktiraf serta menggalakkan kecemerlangan di tempat kerja dengan menekankan kepentingan memupuk budaya pembelajaran, pembangunan dan peningkatan yang berterusan.

Dalam acara sama, Malaysia Book of Records (MBOR) juga mengumumkan NHCCE 2023 sebagai Acara Modal Insan terbesar yang pernah diadakan di Malaysia berdasarkan jumlah keseluruhan delegasi dan pameran.