Tindakan Thailand kawal eksport gula tak jejas bekalan negara - Armizan

Iklan
Armizan melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga di sebuah pasar raya dekat sini pada Rabu.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tindakan Thailand untuk mengawal eksport gula mentah tidak akan menjejaskan bekalan komoditi itu di negara ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dua syarikat pengilang gula terbesar di negara ini iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) tidak bergantung kepada bekalan gula mentah dari Thailand.

Iklan
Iklan

"Jadi dengan apa yang berlaku di Thailand tidak akan memberi kesan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan Thailand yang akan mula mengawal selia harga domestik dan eksport gula dalam usaha mengawal inflasi dan mengekalkan jaminan makanan.

Iklan

Thailand merupakan pengeluar kedua terbesar di dunia selepas Brazil.

Bekalan gula mentah Malaysia diperoleh daripada Brazil sepenuhnya sejak awal tahun ini.

Iklan

Armizan sebelum itu juga melakukan pemeriksaan dan pemantauan di sebuah pasar raya di sini pada Rabu.

Tambah Armizan, negara berdepan dengan kenaikan harga gula mentah yang cukup tinggi di peringkat global iaitu sebanyak 52 peratus berbanding tahun 2021.

"Kenaikan ini telah memberi kesan di peringkat runcit dan difahamkan kedua-dua syarikat pengeluar gula berhadapan dengan masalah kerana bagi setiap kilogram gula kasar yang dijual pada harga RM2.85, mereka sebenarnya rugi sebanyak 88 sen," katanya.

Menurut Armizan, kementerian sedang menjalankan libat urus dengan MSM dan CSR bagi menangani masalah tersebut.

"Kita harap dapat tanganinya kerana kedua-dua syarikat ini adalah jaminan bekalan gula yang ada di negara kita," katanya.

Sementara itu, Armizan mengakui terdapat gangguan bekalan gula di sesetengah kawasan sehingga memaksa peruncit menghadkan pembelian.

"Bekalan masih ada sebab itu kita lihat ada kedai runcit tertentu yang membuat peraturan sendiri untuk hadkan pembelian bagi membolehkan masyarakat setempat mendapat bekalan mencukupi," katanya.

Tambah beliau, kajian kerajaan menunjukkan penggunaan gula setiap isi rumah adalah hanya 2.6 kilogram (kg) setiap bulan.

"Kalau pengguna beli 2 kg sepatutnya mencukupi untuk sebulan.

"Industri makanan dan minuman (F&B) sebenarnya perlu membeli gula yang bukan pada kadar kawalan RM2.85.

"Itu sebabnya peraturan itu dibuat oleh pasar raya kerana akhirnya berbalik kepada objektif mengawal gula untuk penggunaan isi rumah," katanya.