KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang pesara kerajaan ditemukan maut dengan kesan tikaman pada badan dipercayai dibunuh dalam kejadian di tepi jalan di Kuala Berang, Hulu Terengganu awal pagi Rabu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai kejadian pada jam 4.35 pagi.
Menurutnya, mangsa yang berusia 65 tahun itu dipercayai dilanggar oleh suspek yang juga rakannya berusia 35 tahun sebelum bertindak menikam mangsa yang ketika itu berada di dalam longkang.
"Berdasarkan siasatan awal kita mendapati berlaku pergaduhan antara kedua-dua wanita tersebut, di mana suspek dan mangsa dipercayai tidak berpuas hati dengan hasil agihan keuntungan perniagaan jualan pakaian yang dijalankan oleh mereka berdua.
"Ekoran pergaduhan itu, suspek yang ketika itu berada di dalam kereta bertindak melanggar dan menikam mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Rabu.
Menurut Mazli, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Berang dan dibawa ke hospital berkenaan untuk tindakan lanjut.
Susulan itu Mazli berkata, pihak polis berjaya menahan suami isteri di sebuah rumah di Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 11 pagi pada Rabu bagi membantu siasatan.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.
"Kita akan melengkapkan kertas siasatan dan suspek akan ditahan reman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok (Khamis)," katanya.