KUALA LUMPUR - Sejumlah 177 kompaun dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam operasi bersepadu halang di ibu kota pada Selasa.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut, 122 notis kompaun dikeluarkan oleh DBKL sementara 49 kompaun dikeluarkan JSPT.
Menurutnya, DBKL turut menunda 21 kenderaan manakala 16 motosikal diangkut dalam dalam operasi sama.
"Tindakan dijalankan di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Antara kesalahan dikesan ialah melakukan halangan lalu lintas dengan meletak kenderaan di laluan awam dan tempat yang tidak dibenarkan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
DBKL berkata, dalam operasi tersebut 197 kenderaan telah diperiksa di sekitar Setapak Sentral, Maxim Citylight, dan KL Traders Kuala Lumpur.
"Kenderaan yang ditunda telah dibawa ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk penyimpanan sementara dan proses dokumentasi," katanya.
Dalam pada itu, DBKL berkata, operasi bersepadu itu akan diteruskan di lokasi tumpuan (hotspot) yang lain.
Justeru katanya, pengguna diingatkan mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.