Larikan diri tinggal 70kg ganja, pistol, 50 peluru

Iklan
Gambar hiasan.

KANGAR - Polis merampas 70 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM217,000 dalam tugasan rondaan Op Taring oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan sempadan negara di Padang Besar pada 26 Oktober lepas.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, rampasan ganja itu dibuat PGA Batalion 3 yang sedang membuat rondaan di kawasan kebun getah berdekatan sebuah kampung di Padang Besar pada jam 12.15 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Semasa PGA sedang membuat rondaan, telah mengesan seorang lelaki bermotosikal yang menghala masuk ke dalam negeri ini, dan kemudian dia meninggalkan motosikal itu dan melarikan diri.

"Di dalam plastik hitam itu terdapat dua bungkusan guni putih dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati (masing-masing) terdapat 32 dan 38 ketulan mampat dibaluti plastik lut sinar disyaki dadah jenis ganja (anggaran berat) 32kg dan 38kg ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini pada Rabu.

Iklan

Muhammad berkata, pemeriksaan lanjut pihak polis juga menjumpai sepucuk pistol jenis Beretta dan sekotak peluru berisi 50 butir peluru bersaiz 9mm yang dipercayai cuba diseludup ke negara ini.

Beliau berkata, susulan rampasan ganja itu, siasatan polis telah membawa kepada tangkapan empat lelaki berumur lingkungan antara 30-an dan 40-an secara berasingan di kawasan sekitar Padang Besar itu dan kesemua mereka dipercayai saling mengenali antara satu sama lain.

Iklan

"Semakan polis mendapati suspek pertama tiada rekod jenayah, manakala suspek kedua hingga keempat mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah, ujian saringan air kencing menunjukkan suspek kedua dan ketiga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Muhammad berkata, bekalan ganja 70kg itu dianggarkan boleh digunakan kira-kira 700,000 pengguna dadah sekiranya ia melepasi pasaran.

"Pihak polis percaya yang bekalan ganja ini untuk pasaran luar Perlis, dengan jumlah yang banyak sebegini tidak mungkin hanya untuk pasaran di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

Muhammad berkata, pihak polis juga percaya ada lagi rangkaian bertindak sebagai sindiket pengedaran dadah itu dan pihaknya akan terus mengesan individu yang mungkin terlibat dalam rangkaian berkenaan. - Bernama