Naik taraf LTSAS penting, pemangkin ekonomi Perak

Iklan
Sze Yee (tiga dari kiri) ketika mengadakan lawatan kerja ke LTSAS, baru-baru ini. - Foto Pejabat Exco

IPOH - Pembangunan dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) dekat sini penting kepada kerajaan Perak sebagai pemangkin utama ekonomi terutama sektor pelancongan dan perindustrian.

Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pembangunan baharu itu nanti membolehkan LTSAS meningkatkan daya saing sama seperti lapangan terbang negeri lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini LTSAS berkemampuan menampung pesawat penumpang seperti Airbus A320 dan A319 serta penerbangan jarak jauh bagi tempoh antara empat hingga lima jam.

"Ipoh adalah hab ekonomi penting bagi negeri ini dan sekiranya kemudahan di LTSAS tidak ditingkatkan atau dipelihara dalam keadaan baik, sukar untuk Perak mengekalkan kedudukan dan mendepani persaingan ekonomi akan datang.

Iklan

"Buat masa ini, kerajaan negeri telah mengenal pasti pelbagai inisiatif bagi usaha naik taraf lapangan terbang itu termasuklah menerusi Kerjasama Awam-Swasta atau Public-Private Partnership (PPP) yang disyorkan Kementerian Pengangkutan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, menerusi konsep PPP, cadangan pembangunan yang diberikan kepada Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) adalah untuk memodenkan pengoperasian LTSAS tanpa perlu memanjangkan landasan lapangan terbang sedia ada.

Iklan

Katanya, pelan pembangunan itu dalam peringkat rundingan antara Kementerian Pengangkutan dengan MAHB dan kerajaan negeri hanya menunggu kelulusan bagi merealisasikannya.

"Ini adalah harapan terbesar rakyat negeri ini untuk melihat pembangunan LTSAS dapat diluluskan dalam masa terdekat.

"Sekiranya MAHB tidak dapat memberikan kelulusan dalam perkara ini, kita tidak mempunyai pilihan selain menggalakkan pelancong dan pelabur datang ke Ipoh melalui transit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura untuk memudahkan perjalanan masing-masing," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong itu turut menegaskan, LTSAS yang ketika ini menyediakan penerbangan antarabangsa Singapura ke Ipoh selain penerbangan domestik ke Johor Bharu dan Langkawi berhasrat untuk terus memberi tumpuan terhadap perkhidmatan penerbangan rantau Asia.

Justeru ujarnya, langkah pemodenan LTSAS tidak akan menjadi saingan kepada perkhidmatan penerbangan di negeri bersempadan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

"Kedua-duanya menyediakan perkhidmatan penerbangan jarak jauh yang dinamik, sebaliknya LTSAS berhasrat untuk memberi tumpuan terhadap penerbangan serantau dan sedia ada," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk membangunkan dan menaik taraf lapangan terbang yang kurang berdaya saing di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, usahasama menerusi PPP itu diyakini dapat memberi model baharu kepada lapangan terbang sedia agar dapat dibangunkan dengan lebih baik.

Ketika ini terdapat beberapa syarikat swasta yang menunjukkan minat dan kesungguhan dalam perkara itu dengan membabitkan pelaburan besar termasuklah di LTSAS.