Kerajaan Perak bantu komersial produk inovasi

Iklan
Saarani (dua dari kiri) ketika menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

IPOH - Kerajaan negeri Perak sedia membantu mengkomersialkan produk inovasi yang dihasilkan sempena Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2023.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, produk-produk inovasi yang dihasilkan perlu terlebih dahulu dipatenkan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebelum dikomersialkan.

Iklan
Iklan

"Pertama sekali pemenang-pemenang ini perlu memohon untuk patenkan hasil reka cipta masing-masing sebelum kerajaan negeri bantu.

"Kedua mereka perlu melakukan penambahbaikan terhadap hasil reka cipta mereka dan selepas itu barulah kita boleh bantu untuk dikomersialkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, bagi tujuan berkenaan, kerajaan negeri turut mencadangkan mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak untuk membantu mengkomersialkan produk inovasi berkenaan.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Saarani yakin ciptaan produk inovasi yang dihasilkan oleh peserta terlibat mampu mempermudahkan tugasan di lapangan, memberikan manfaat secara terus kepada pihak pelanggan, serta membantu menjana sumber ekonomi yang baharu.

Iklan

Menurutnya, ia juga akan menjadi pemangkin untuk penjawat awam lebih kreatif dalam menghasilkan produk yang lebih efisien.

Jelasnya, inovasi yang dihasilkan tidak sekadar menjadi kejayaan kepada sesebuah organisasi, sebaliknya mampu memberi lonjakan kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negeri dan negara.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi setiap kategori dipertandingkan.

Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dipilih sebagai pemenang utama bagi Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB) dengan membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta piala iringan.