Mahkamah tolak permohonan semakan MyCC kes MAS, AirAsia

Iklan
Gambar fail.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) gagal dalam permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang tidak memberi kebenaran badan kawal selia itu meneruskan rayuannya bagi mengembalikan semula denda RM10 juta yang dikenakan terhadap Malaysian Airlines (MAS) dan AirAsia Berhad kerana melanggar larangan perkongsian pasaran.

Permohonan semakan MyCC itu ditolak oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof serta Datuk Harmindar Singh Dhaliwal pada Rabu.

Iklan
Iklan

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Abang Iskandar berkata, tiada merit dalam permohonan semakan MyCC dan badan kawal selia itu juga gagal memenuhi keperluan untuk mewajarkan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Beliau berkata, tidak ada sedikit pun bukti yang menunjukkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menolak untuk memberikan kebenaran kepada MyCC dicemari dengan penafian keadilan.

Iklan

Hakim Abang Iskandar memerintahkan MyCC membayar MAS dan AirAsia masing-masing sebanyak RM50,000 sebagai kos.

Dalam permohonan semakannya, MyCC mahu panel Mahkamah Persekutuan baru ini mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb tahun lepas yang menolak permohonan badan kawal selia itu untuk kebenaran meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Iklan
Mahkamah Rayuan pada 26 April 2021, membatalkan denda RM10 juta yang dikenakan ke atas MAS dan AirAsia oleh MyCC pada 2014 selepas kedua-dua syarikat penerbangan itu didapati melanggar larangan perkongsian pasaran di bawah Seksyen 4(2) Akta Persaingan dengan memeterai perjanjian perkongsian pasaran dalam sektor perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia.

AirAsia dan MAS kemudian merayu berhubung denda itu dan pada 18 Februari 2016, Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) mengetepikan keputusan MyCC.

MyCC kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan CAT dan mengembalikan semula keputusannya (MyCC) dalam mengenakan denda ke atas MAS dan AirAsia.

Pada Disember 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman MyCC dan mengembalikan semula keputusannya (MyCC) untuk mengenakan denda ke atas kedua-dua syarikat penerbangan itu yang menyebabkan MAS dan Airasia merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Kuantum denda itu dikira berdasarkan penerbangan oleh kedua-dua syarikat itu dalam tempoh empat bulan dari Januari hingga April 2012 bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Sandakan dan Kuala Lumpur-Sibu. - Bernama