Rangka kerja AI lindungi hak asasi manusia

Iklan
Chang Lih Kang

PETALING JAYA - Kerajaan merancang untuk menubuhkan rangka kerja yang jelas untuk melindungi hak asasi manusia dalam konteks kecerdasan buatan (AI) dan memastikan mereka yeng melanggar hak tersebut dipertanggungjawabkan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, menyelaraskan kemajuan teknologi dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia bukan sekadar kewajipan moral tetapi juga keperluan praktikal untuk membina masyarakat yang adil dan saksama.

Iklan
Iklan

"Manakala enjin carian dipacu AI dan sistem cadangan kandungan meningkatkan akses kepada maklumat, mempromosikan kebebasan bersuara dan hak untuk mengakses maklumat, ia juga boleh digunakan untuk pengawasan kandungan dan penapisan yang mempengaruhi hak kepada kebebasan bersuara.

"Adalah penting bagi kita untuk menubuhkan asas berdasarkan tadbir urus yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Pembela Hak Asasi Manusia (HRD) Asia ke-10, di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, mencapai keseimbangan antara faedah AI dan perlindungan hak asasi manusia adalah cabaran besar bagi kerajaan, organisasi dan masyarakat kerana hubungan tersebut adalah rumit.

Oleh itu, Lih Kang berkata, adalah penting untuk menggubal satu kod etika dan tadbir urus yang komprehensif bagi AI.

Iklan

Beliau juga menekankan bahawa kerajaan akan terus berhubung dengan pihak berkepentingan untuk mencipta landskap kondusif bagi individu dan pertubuhan untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia secara aman.

"Walaupun kerajaan telah mengambil langkah yang besar untuk mempromosikan agenda hak asasi manusia Malaysia, adalah penting untuk mengakui bahawa cabaran dalam memenuhi kewajipan hak asasi manusia adalah tidak dapat dielakkan," katanya.

Lih Kang, bekas penyelaras Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) juga menekankan bahawa kerajaan mengakui bahawa Pembela Hak Asasi Manusia (HRD) dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) memainkan peranan yang sangat penting dalam membela hak dan kebimbangan komuniti yang terpinggir.

Beliau berkata, individu dan kumpulan khusus ini berperanan sebagai suara bagi golongan yang tidak bersuara dengan tekun berusaha untuk menerangkan isu-isu yang sering diabaikan oleh masyarakat arus perdana dan kerajaan.

Forum HRD Asia ke-10 ini menyediakan platform kepada lebih dari 200 HRD untuk membincangkan perjuangan bersama mereka dan harapan untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi asas di seluruh Asia.

Forum tiga hari yang bermula hari ini dianjurkan bersama oleh Forum Asia untuk Hak Asasi Manusia dan Pembangunan (FORUM-ASIA), Pusat KOMAS dan SUARAM.

Pusat KOMAS adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan hak asasi manusia, demokrasi dan antidiskriminasi khususnya diskriminasi perkauman dan menyokong hak Orang Asli.- Bernama