Mavcom gantung lesen MYAirline serta-merta

Iklan
Mavcom menggantung ASL MYAirline yang berkuat kuasa serta-merta.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang berkuat kuasa serta-merta selaras dengan seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, walaupun pembatalan ASL tersebut boleh dibuat, namun ia akan memberi kesan terhadap syarikat penerbangan itu yang sedang berusaha melakukan bayaran semula kepada penumpang terjejas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MYAirline perlu bertanggungjawab membuat bayaran balik terhadap penumpang yang terjejas mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), walaupun lesen udara syarikat berkenaan telah digantung.

"Kami telah membuat keputusan ini dengan tujuan untuk melindungi kepentingan para penumpang dan pekerja terjejas disebabkan oleh penggantungan operasi MYAirline serta mengambil kira cabaran dihadapi oleh industri penerbangan pasca pandemik Covid-19.

Iklan

"Lebih 117,000 penumpang terjejas akibat penggantungan operasi dengan nilai jualan keseluruhan berjumlah lebih RM22 juta dan penerbangan berjadual bermula 12 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.

"Sebahagian besar jualan adalah daripada agensi pelancongan sebanyak 58 peratus bersamaan RM12.8 juta diikuti 41.8 peratus dengan nilai RM9.2 juta daripada pembayaran kad kredit atau debit,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pada 26 Oktober lalu, Mavcom telah membuka siasatan terhadap MYAirline dan mengeluarkan surat tunjuk sebab pada 13 Oktober.

Setelah mengkaji penjelasan bertulis tersebut, Mavcom telah memutuskan untuk menggantung ASL MYAirline kerana penjelasan yang diberikan oleh syarikat penerbangan tersebut tidak memuaskan.

Mengulas lanjut, Saripuddin berkata, pasukan petugas suruhanjaya tersebut akan melihat isu bayaran balik penumpang terjejas dan akan memberikan cadangan termasuk penyelarasan mekanisme perlindungan pengguna penerbangan.

Jelasnya, Mavcom akan terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi mencari penyelesaian buat penumpang terjejas untuk mendapatkan wang mereka kembali.

"Keputusan ini selaras dengan fungsi Mavcom termasuklah menyediakan mekanisme perlindungan penumpang dan menggalakkan pelaburan yang tepat pada masanya dalam industri penerbangan awam bagi memenuhi peningkatan permintaan serta keperluan pembangunan.

"Kami ingin memastikan keseimbangan antara aktiviti komersial untuk mempromosikan kelestarian dan kemajuan industri serta memastikan penumpang terus dilindungi,” ujarnya.