'Ya ALLAH, sahih anak aku duduk dalam kolam ini' - Bapa

Iklan
Mohd Ali menunjukkan gambar kenangan anaknya, Muhammad Aidil Adha yang lemas selepas terjatuh dalam kolam udang di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda pada Rabu.

SUNGAI PETANI - Seorang pekerja kolam udang tidak menyangka anaknya yang hilang ketika sedang bermain bersama sepupunya telah terjatuh ke dalam kolam di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda pada Rabu.

Mohd Ali Abdul Rahman, 48, berkata, anaknya, Muhammad Aidil Adha Mohd Ali, 5, dan anak saudara, Muhammad Syafiq Amsyar Abdul Syahid, 3, sebelum kejadian berada di sekitar kawasan berkenaan untuk bermain memandangkan rumah mereka juga terletak berdekatan kolam udang tersebut.

Iklan
Iklan

"Sebelum kejadian mereka sedang bermain dengan arnab peliharaan di bawah bangsal berdekatan kolam.

"Selang beberapa minit kemudian, saya lihat mereka sudah tiada di situ, hanya arnab sahaja yang masih ada di bangsal tersebut," katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda di sini pada Rabu.

Iklan

Mohd Ali kemudian cuba mencari di sekitar kolam, namun gagal menemui kedua-duanya.

"Bila tarik pukat kali pertama, terus dapat sepupunya (Muhammad Syafiq Amsyar), tarik kali kedua tak dapat, tarik kali ketiga baru dapat anak saya," luahnya sebak.

Iklan

Sementara itu, ibu Muhammad Syafiq Amsyar, Nur Khairina Natasha Sarino, 24, menyedari ketiadaan anaknya setelah tidak mendengar lagi bunyi bising suara bermain di luar rumah.

Nur Khairina menunjukkan gambar kenangan Muhammad Syafiq Amsyar.

"Mula itu dengar suara, lepas itu sunyi, rasa tak sedap hati, tanya kat papa dia, anak ada main kat sini tak?

"Suami pun mula mencari di merata tempat tetapi tidak menjumpainya," katanya yang menjelaskan suaminya ketika itu turut berada berdekatan kolam, namun tidak sedar ketiadaan mangsa.

Jelas Nur Khairina, sehari sebelum kejadian, Muhammad Syafiq Amsyar ada meminta mahu menyarungkan baju kurta yang dipakai masa hari raya lalu untuk keluar rumah berbanding selalunya memilih baju-T bercorak kartun.

"Dia ambil baju raya kurta biru, dia tanya mama, adik nak pakai baju ini, tetapi saya cakap tak sesuailah, nantilah pakai raya, itulah permintaannya," jelasnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam udang dekat Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda di sini lebih kurang jam 2 petang Rabu.

Mangsa, Muhammad Aidil Adha Mohd Ali, 5, dan sepupunya, Muhammad Syafiq Amsyar Abdul Syahid, 3, disedari hilang ketika sedang bermain dekat kolam berkenaan yang terletak berdekatan dengan rumah mereka.